KETUA Pemuda Umno bahagian Sekijang, Johor, Ayub Rahmat, tidak dapat melupakan pengalaman sulungnya berbahas pada Perhimpunan Agung Umno 1999 apabila dewan persidangan riuh dengan jeritan serta sorakan perwakilan sebaik skrin gergasi terpampang gambar wanita yang tidak senonoh.
Beliau yang ketika itu membahas ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, bukan saja tidak menyedari apa yang berlaku, malah bimbang jika ucapannya menimbulkan kemarahan perwakilan.
“Masa itu, saya mula menggigil kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan, apa lagi itu pengalaman pertama saya diberi peluang menyertai perbahasan selepas dua kali menghadiri perhimpunan agung sebelum itu.
“Rupa-rupanya, skrin gergasi di depan pentas utama yang sepatutnya menunjukkan visual wajah saya, terpapar gambar tidak senonoh yang tiba-tiba muncul.
“Bagaimanapun, tindakan pantas Datuk Mokhzani Mahathir menghadang pancaran projektor dengan kertas, berjaya menyelamatkan keadaan,” katanya yang sebelas kali ke tandas sebelum tiba gilirannya berbahas ketika itu.
Ayub yang pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda Johor dari 2001 hingga 2004 berkata, beliau mula berminat menyertai politik sejak berusia 12 tahun kerana tertarik dengan karisma Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Musa Hitam.
“Walaupun masih kecil, saya masih ingat lagi ucapan Tun Musa pada satu majlis di Segamat yang menyatakan Umno adalah parti untuk orang kampung dan akan menjaga orang kampung sampai bila-bila kerana ia berasal dari situ,” katanya.
Malah, latar belakang keluarganya yang miskin menyemarakkan semangatnya untuk berkecimpung dalam politik, seterusnya membangunkan ekonomi masyarakat setempat.
“Saya dibesarkan oleh ibu bapa daripada hasil menoreh getah dan apabila ada pemimpin yang mempunyai pegangan seperti itu, ia membuatkan saya terharu dan langsung bertekad menyertai Umno dan menyambung perjuangannya,” katanya yang sudah 10 kali dipilih mewakili Pemuda menjadi perwakilan pada perhimpunan agung.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment