MIRI 9 Nov. – Senator Datuk Seri Empiang Jabu dilantik sebagai Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sempena Perhimpunan Agung pergerakan itu di sini hari ini.
Pelantikan tersebut diumumkan oleh Ketua Pergerakan Wanita PBB sesi 2002-2007, Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi yang mengundurkan diri daripada memegang tampuk kepimpinan sayap wanita tersebut.
Empiang yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua PBB akan menerajui kepimpinan sayap wanita Parti itu untuk tempoh 2007-2010.
Senarai penuh Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita tersebut akan diumumkan lewat petang ini.
Bercakap kepada pemberita, Empiang berterima kasih kepada kumpulan pergerakan wanita dan Presiden PBB yang memberi kepercayaan kepada beliau untuk memimpin pasukan tersebut.
‘‘Saya sedar banyak cabaran yang bakal menanti tetapi saya harap dengan adanya semangat kerja berpasukan, wanita PBB boleh melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Sharifah Mordiah dalam ucapan dasarnya menegaskan peranan pergerakan wanita penting dalam memastikan persekitaran politik dan ekonomi yang stabil di negara ini.
‘‘Oleh itu, wanita harus teruskan perjuangan, menjaga parti, jaga kedaulatannya serta dihormati barisan pemimpinnya,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan wanita yang berkecimpung dalam politik agar terus menjaga imej dan peribadi.
‘‘Dalam arena politik, kita sebagai wanita harus menjaga budi bahasa, beradab serta berpegang teguh kepada ajaran agama,” katanya.
No comments:
Post a Comment