Sat | Nov 10, 07 | 10:14:27 am MYT
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar mengecam keras ucapan penggulungan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang disifatkan sebagai buta sejarah apabila menyatakan himpunan jalanan bukan budaya di negara ini.
Sambil menyifatkan menantu Presiden Umno, Khairy Jamaluddin sebagai biadap, Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat kesal dengan sikap Abdullah selaku Perdana Menteri yang dikatakan tidak tahu mengenai sejarah Umno menjatuhkan pemimpin terdahulu melalui himpunan jalanan sejak dahulu lagi.
"Ucapan PM semalam mengenai demonstrasi jalanan menunjukkan beliau buta sejarah pada tahun 1946 yang mana demonstrasi jalanan dibuat untuk menentang Malayan Union.
"Sejarah menunjukkan bahawa bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan mahasiswa untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan sejarah ramai lagi pemimpin Umno menggunakan himpunan jalanan bagi menyatakan bantahan," tegas Kamarudin.
Sementara katanya ucapan Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda Umno yang menyifatkan peserta himpunan sebagai 'beruk' dianggap sebagai satu ucapan paling biadap dari anak muda yang tidak mencerminkan sikap dari konsep Islam Hadhari ciptaan bapa mertuanya.
Beliau seterusnya menyatakan bahawa tindakan PM dan Khairy yang terlalu menumpukan isu himpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam Perhimpunan Agung Umno yang baru berakhir semalam menampakkan satu arus ketakutan terhadap kebangkitan rakyat.
Malang sekali Perdana Menteri dan menantunya itu amat cetek pengetahuan mengenai demokrasi yang membenarkan himpunan jalanan secara aman.
Sejarah menunjukkan himpunan yang dianjurkan pembangkang tidak pernah ganas melainkan adanya unsur provokasi dari pihak berkuasa yang melakukan penyamaran.
Beliau seterusnya mengecam keras sikap Perdana Menteri selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang menggunakan pasukan polis menakut-nakutkan orang awam dengan sekatan jalan raya dan kehadiran polis yang ramai di sekitar Kuala Lumpur sejak pagi tadi lagi.
Tindakan itu hanya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara polis yang akan hanya dikecam oleh seluruh masyarakat dunia, katanya.
Jalan ditutup, KL jadi 'bandaraya polis'
Sementara itu dalam tinjauan yang dilakukan penulis sejak menaiki bas Seremban ke Kuala Lumpur pada jam 7.30 pagi tadi, polis telah memulakan sekatan di Tol Sungai Besi, Lebuh Raya Sungai Besi (berhampiran Kampung Malaysia Tambahan) dan menutup jalan ke Istana Negara.
Penutupan jalan ke Istana Negara menyebabkan kesesakan melampau sedangkan hari ini adalah hari Sabtu di mana banyak agensi terutamanya agensi kerajaan dan badan tertentu yang bercuti.
Kehadiran lima trak polis lengkap bercota dengan senjata api dan jip 'black marea' menyebabkan orang ramai yang lalu-lalang di situ terpinga-pinga.
Paling menggelikan hati, beberapa orang pendatang asing terutamanya warga Myanmar dilihat cemas kerana bimbangkan adanya tangkapan terhadap warga asing.
Penulis sendiri terkejut dengan kehadiran anggota polis yang sekaligus menukar lanskap Bandaraya Kuala Lumpur seperti sebuah pekan milik 'polis'.
Penulis mula menghantar SMS kepada pimpinan dan rakan-rakan di pejabat untuk memaklumkan perkembangan terkini situasi di sekitar Kuala Lumpur menjelang jam 3.00 petang. - mks.
No comments:
Post a Comment