Saturday, November 10, 2007

Sanggup hadapi pelbagai cabaran

KUALA LUMPUR: Umno akan terus menjuarai usaha membela nasib masyarakat Melayu di negara ini biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran yang kompleks, kata Naib Presiden parti, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Katanya, ini selaras dengan kedudukan orang Melayu yang masih memerlukan pembelaan, sama ada di luar bandar dan bandar meskipun mereka sebenarnya kelompok terbesar rakyat di negara ini.

"Semangat dan daya juang Umno untuk membela masyarakat Melayu tidak akan luntur biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk sikap orang Melayu sendiri.

"Seperti ditegaskan oleh (Presiden Umno) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berdosalah kita jika kita tidak berusaha bersungguh-sungguh apatah lagi membiarkan Melayu ketinggalan dalam fasa 50 kedua kemerdekaan," katanya.

Membentangkan ucapan penangguhan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2007, beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, parti perlu mendidik barisan pemimpin pelapis sekiranya ingin membina gagasan negara bangsa yang kukuh.

“Seperti kata (bekas Presiden Indonesia) Sukarno, dengan 1,000 pemuda, aku bisa menghancurkan Gunung Semiru, tapi dengan 10 pemuda berjiwa revolusi, aku bisa menggoncang dunia,” katanya.

Beliau juga menegaskan, Umno tidak mengamalkan sikap lidah bercabang dalam memperjelaskan isu berkaitan agama dan perkauman kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta semua anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) mengambil sikap serupa dan tidak mudah melatah, sekali gus terperangkap dengan taktik yang dicetuskan pembangkang.

"Jika Presiden, Timbalan Presiden Umno dan kita semua sanggup menerangkan kepada ahli Umno dan orang Melayu mengenai perkara yang sukar bagi masyarakat Melayu, saya harap rakan dalam BN pun sanggup berbuat demikian.

"Barulah ini dikatakan seperti perumpamaan, ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing," katanya.

Mohd Ali berkata, parti juga menyokong penuh tindakan Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengucup keris panca warisan biarpun masih ada pihak, termasuk dalam negara berasa tidak senang.

"Kucuplah Datuk Seri Hishammuddin, bukan sekali, bukan dua kali, bukan tiga kali dan berpuluh kali, selagi hayat di kandung badan... bukan saja saya, malah Pak Lah, Datuk Seri Najib dan semua perwakilan menyokong,” katanya.

No comments: