KUALA LUMPUR 9 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO akan mendedahkan dalang yang merancang perhimpunan haram di Dataran Merdeka sekiranya pihak terbabit masih berdegil untuk meneruskannya esok.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dengan cara itu, rakyat akan dapat melihat sendiri tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit untuk memporak-perandakan negara.
Katanya, Pemuda UMNO lega dengan apa yang ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2007 hari ini kerana ia akan dapat menyedarkan orang ramai tentang niat pihak tersebut.
“Tindakan mereka tidak lain adalah untuk kepentingan sendiri dan saya percaya mereka hanya mahu mengaburi mata masyarakat terhadap kerajaan sekarang.
“Sekiranya sesuatu berlaku akhirnya kerajaan dan pihak berkuasa juga dituduh. Ini niat jahat dan saya harap apa yang Presiden sebut akan sedarkan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas ucapan penggulungan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang berakhir hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Penganjur perhimpunan itu yang mengelar diri sebagai ‘Bersih’ sebelum ini meminta orang ramai yang menyertai perhimpunan pukul 3 petang itu memakai pakaian berwarna kuning sebelum berarak ke Istana Negara.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram itu kerana ia dijangka mencetuskan kekecohan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Mengenai isu perkauman, Hishammuddin berkata, Pemuda UMNO tetap dengan pendirian tidak akan melayan sebarang polemik perkauman termasuk isu menghunus dan mencium keris yang digembar-gemburkan.
“Kita sudah terangkan dengan panjang lebar mengenai hal itu dan tidak ada sesiapa yang perlu takut, bimbang dan gusar dengan simbol kita itu lebih-lebih lagi semua sudah tahu kita sudah merdeka...apa yang hendak ditakutkan lagi?,” katanya.
Menurutnya, sekarang adalah masa untuk memikirkan agenda yang lebih besar seperti pembangunan modal insan dan usaha untuk memastikan apa yang telah dikupas pada Perhimpunan Agung UMNO menjadi misi yang dapat diteruskan.
“Kalau perkara kecil seperti simbol dan tamadun warisan budaya boleh pecah-belahkan kita, maknanya itu bukan pemimpin atau parti politik yang bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pelbagai isu yang diketengahkan pada perhimpunan kali ini, menunjukkan UMNO sentiasa melihat kepada realiti dan bukan hanya berangan-angan.
‘‘Kita masih berdiri di atas bumi yang nyata, kita tahu apa cabaran kita tanpa mengambil kesempatan dan sindrom untuk menafikan sebarang hakikat.
‘‘Ini adalah landasan yang baik untuk kita terus maju ke hadapan khususnya dalam konteks menghadapi pilihan raya akan datang,’’ ujarnya.
No comments:
Post a Comment