Saturday, November 10, 2007

Taib ulangi sedia lepas jawatan

MIRI 9 Nov. – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini sekali lagi menggambarkan kesediaannya untuk melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 26 tahun lalu.

Beliau berkata, sebelum melepaskan jawatan tertinggi itu tumpuan sekarang ialah untuk memastikan persediaan peralihan jawatan itu dapat dilakukan tanpa kesan tidak baik kepada rakyat.

“Terus terang... saya cuba mengundur diri (daripada jawatan), tetapi kena pastikan duhulu parti dan kerajaan berada dalam keadaan kukuh dan pembangunan terus meningkat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-11, di sini.

Abdul Taib berkata, pengganti beliau akan dipilih daripada ahli politik yang disegani rakyat dan mampu menggerakkan bukan hanya PBB tetapi juga seluruh jentera kerajaan.

Ditanya bila kemungkinan melepaskan jawatan itu, beliau tidak menetapkan tempoh sebaliknya meletakkan keutamaan untuk melahirkan pasukan pemimpin pelapis bagi memacu hala tuju pembangunan di Sarawak.

“Kita mesti laksanakan tugas yang sepatutnya, jika tidak negeri akan bermasalah,” katanya.

No comments: