Saturday, November 10, 2007

Jangan hirau SMS fitnah, jaga disiplin teruskan himpunan - Mohd Sabu

Saidah Hairan
Sat | Nov 10, 07 | 11:17:08 am MYT

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mengingatkan ahli PAS dan penyokong perhimpunan aman supaya tidak menghiraukan sistem pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa perhimpunan itu anjuran IFC iaitu golongan yang menyokong umat Islam menjadi murtad.

Beliau berharap rakyat khususnya ahli PAS hanya perlu berpandukan pada SMS: 'Perhimpunan Aman anjuran BERSIH pada 10 November jam 3 petang di Dataran Merdeka. Jaga dispilin, elak provokasi. Sila datang awal kerana jalan sesak disebabkan banyak sekatan jalan rakyat.'

"Tinggalkan panggilan atau SMS lain. Semua peserta perhimpunan perlu mengikut negeri masing-masing dengan penuh disiplin," katanya dalam taklimat di Dewan Dato' Fadzil Noor, Taman Melewar, malam tadi.

Beliau berkata, memorandum itu dijangka akan dihantar kepada Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, jam 5 petang ini.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, perhimpunan aman jam 3 petang itu merupakan kemuncak himpunan rakyat bagi menuntut demokrasi.

Beliau menegaskan ahli-ahli dan pimpinan PAS tidak diupah oleh mana-mana pihak untuk turut serta dalam perhimpunan petang nanti.

Katanya, kalau pimpinan Umno betul-betul 'anak jantan' bagi peluang kepada PAS-BA untuk bertanding dalam pilihan raya dengan cara 'padang yang rata'.

Tetapi katanya, rakyat Malaysia mempunyai Perdana Menteri yang 'bacul' kerana di waktu pemerintahan Abdullah tarikh kempen hanya setakat lapan hari berbeza ketika di zaman pemerintahan PM sebelum ini.

"Ini menunjukkan salah satu kebaculan Abdullah," tegasnya.

Laungan 'Daulat Tuanku', 'Daulat Tuanku', 'Daulat Tuanku' bergema di Dewan Dato' Fadzil Noor malam tadi bagi mewakili suara rakyat Malaysia bagi memohon ke bawah baginda untuk mendapatkan pilihan raya yang telus.

Laungan itu diketuai oleh Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub. Dalam masa yang sama beliau mengingatkan peserta perhimpunan bahawa 'Speacil Branch' (SB) yang akan membuat provokasi dan berusaha mengagalkan perhimpunan serta perarakan petang ini.

"Kita cabar mereka siapa yang membakar bendera di Batu Buruk tidak ditangkap sehingga hari ini," katanya.

Dalam pada itu, pimpinan DAP, Ronnie Liu memaklumkan bahawa Ketua Pembangkang di Parlimen, Lim Kit Siang akan turut serta dalam perhimpunan dan perarakan aman, di Dataran Merdeka, petang ini. - mr/mks.

No comments: