KUALA LUMPUR 9 Nov. – Kelantangan UMNO Johor memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu di negara ini, bukan bertujuan memecah belahkan perpaduan dan hubungan baik pelbagai kaum di negara ini.
Sebaliknya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Razali Ibrahim berkata, ia dibuat kerana menginsafi kedudukan bahasa Melayu sebagai wadah yang mampu menyatupadukan rakyat, selain termaktub sebagai bahasa kebangsaan semua kaum di negara ini.
Untuk itu, katanya, tindakan UMNO Johor menolak pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan terus diperjuangkan sampai bila-bila biarpun usul yang sama pernah dikemukakan pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu.
‘‘UMNO Johor akan terus memperjuangkan penggunaan bahasa Melayu ini sampai bila-bila pun, kerana apa yang dibangkitkan bukan sengaja direka-reka.
‘‘Ia adalah satu prinsip demi memastikan bahasa Melayu terus berperanan sebagai bahasa kebangsaan,’’ katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di sini hari ini.
Razali yang juga Ahli Parlimen Muar mengulas gesaan UMNO negeri itu semalam agar pengajaran Sains dan Matematik yang kini dalam bahasa Inggeris kembali menggunakan bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment