Sat | Nov 10, 07 | 12:09:06 pm MYT
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pimpinan tertinggi pembangkang akan turun bersama rakyat berhimpun di hadapan Dataran Merdeka jam 3.00 petang ini walau apapun terjadi.
Menurut Jurucakap Sekretariat Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Faisal Mustaffa berkata Anwar akan turun walaupun ketika ini hujan lebat di Kuala Lumpur.
Anwar akan bersama pimpinan tertinggi PAS seperti Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Dataran Merdeka petang ini.
Penyerahan memorandum akan berlangsung seperti yang dirancang dimana penyerahan akan dilakukan oleh Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar di Istana Negara.
Faisal juga memaklumkan setakat ini telefon peribadinya dipantau oleh polis menyebabkan beliau tidak boleh memaklumkan perkembangan lanjut pergerakan Anwar dan pimpinan pembangkang.
Seluruh AJK PAS Pusat dan Majlis Tertinggi KeADILan juga telah mengarahkan semua AJK dan ahlinya turun ke Dataran Merdeka petang ini.
Faisal juga memaklumkan mahasiswa yang akan dipimpin oleh Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Dema akan berkumpul di hadapan Pasaraya Sogo pada jam 1.00 petang.
Katanya lagi, lama web rasmi Bersih juga akan dikemaskini setiap setengah jam sekali bagi membolehkan orang ramai mengakses berita terkini perkembangan himpunan petang ini.
Faisal berkata, kerja-kerja kemaskini akan tetap diteruskan walaupun laman web itu telah digodam beberapa kali sebelum ini.
Bagi mengunjung web yang mahukan siaran langsung dari Dataran Merdeka tepat jam 3.00 petang, boleh melayari webtv pas.
Terbaru, Wartawan Harakah, Helmi Khalid yang berada di sekitar Masjid Jamek melaporkan polis mula menggeledah beg-beg orang ramai semata-mata untuk menakut-nakutkan peserta himpunan.
Begitupun beliau memaklumkan tidak ada barang peribadi yang dirampas.
No comments:
Post a Comment