Sat | Nov 10, 07 | 2:47:07 pm MYT
KUALA LUMPUR, 10 Nov (Hrkh) - Lebuh Raya Utara-Selatan (menghala ibu kota dari selatan), menjadi lautan kenderaan apabila berlaku kesesakan lalu lintas paling teruk bermula dari Serdang sehingga ibu kota.
Kesesakan berlaku apabila pihak polis membuat beberapa sekatan jalan raya termasuk menghalang sama sekali kenderaan daripada memasuki Persiaran Mahameru (selepas Lapangan Terbang Sungai Besi) menghala ke Istana Negara dan Dataran Merdeka.
Sekatan dipercayai dilakukan bagi menggagalkan Perhimpunan 100,000 Rakyat anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dijadualkan di Dataran Merdeka, di sini jam 3.00 petang ini.
Biasanya perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur mengambil masa kurang sejam tetapi hari ini, laluan Serdang-pusat ibu kota mengambil masa dua jam. Apa yang memelikkan, berhampiran Plaza Tol Sungai Besi disediakan laluan pusingan U bagi memberi peluang kepada pemandu tidak ke ibu kota, sebaliknya menukar destinasi masing-masing.
Ada beberapa kenderaan rosak dan tersadai di tepi dan tengah-tengah lebuh raya, disebabkan enjinnya terlampau panas.
Sekatan jalan raya di kebanyakan tempat memberi tumpuan khusus kepada penunggang motosikal. Puluhan motosikal tersadai di tepi lebuh raya, dipercayai disita pihak berkuasa.
Selepas turun dari bas di Pudu, penulis yang menaiki kereta api ringan (RapidKL) dari Stesen Pudu menghala ke Masjid Jamek (jam 2.00 petang tadi), seterusnya ke Titiwangsa, mendapati kenderaan berkenaan sarat dengan penumpang.
Ketika kereta api berhenti di Stesen Masjid Jamek, kelihatan kawasan Masjid Jamek dikawal berpuluh-puluh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Ketika kereta api melalui kawasan sisi Dataran Merdeka, kelihatan sejumlah kenderaan FRU dengan puluhan anggota siap sedia. Jalan raya ke kawasan itu telah dihalang kenderaan FRU. Kelihatan di Dataran Merdeka 'kosong'. Hanya kelihatan anggota FRU mundar-mandir di kawasan berkenaan. - lanh
No comments:
Post a Comment