Wednesday, November 07, 2007

Wujud unit Bumiputera

WAKIL Pemuda Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob mencadangkan diwujudkan semula Unit Penyertaan Bumiputera di semua wilayah pembangunan ekonomi, termasuk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang baru dilancarkan bagi membela kepentingan ekonomi orang Melayu.

Katanya, Unit Penyertaan Bumiputera adalah satu pendekatan baru pembangunan yang boleh diterapkan melalui wilayah pembangunan koridor dengan kaedah yang lebih bersepadu, fokus dan holistik.

Beliau berkata, penubuhan unit itu penting kerana ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) dulu, Unit Penyertaan Bumiputera dilaksanakan di setiap negeri, pusat serta kementerian, dan terbukti amat berkesan dalam meningkatkan pemilikan ekonomi Bumiputera.

"Bagi saya, ini serius dan penting. Ia perlu dihidupkan kembali bagi memastikan penyertaan, pembabitan dan keuntungan kepada orang Melayu supaya kita tidak terlalu ketinggalan.

"Nama tidak penting, bubuhlah apa-apa pun nama asalkan dapat membela kaum Melayu," katanya ketika membahas usul ucapan dasar Ketua Pemuda.

Khairuddin berkata, Pemuda Umno akan terus berjuang untuk memastikan agenda ekonomi orang Melayu mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, orang Melayu tidak mahu hanya berbangga dengan kemajuan di Pantai Timur, tapi pada masa sama kaum itu ketinggalan serba serbi seperti melukut di tepi gantang.

"Sejauh mana Bumiputera dapat turut serta, sebagai contoh dalam pemilikan tanah. Dasar yang jelas perlu supaya pemilikan tanah Bumiputera terus terbela," katanya.

Beliau bimbang agensi pelaksana wilayah pembangunan koridor yang tidak dapat menjalankan peranan dengan baik boleh menjejaskan penyertaan orang Melayu.

Selain itu, beliau mencadangkan pemberian semula bantuan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan belia supaya mereka lebih aktif menjalankan pelbagai aktiviti.

"Perhatian juga harus ditumpukan kepada pertubuhan belia di kampung tradisional serta skim Felda yang kini dibelenggu pelbagai masalah sosial.

"Kawasan Rukun Tetangga (KRT) pun boleh dapat geran tahunan RM5,000 tapi cawangan badan gabungan belia tak dapat apa-apa. Apa-apa peruntukan terpaksa bergantung kepada majlis belia daerah," katanya.

Khairuddin berkata, Kementerian Belia dan Sukan perlu mewujudkan Majlis Pembangunan Belia Daerah yang boleh dipengerusikan Ketua Pemuda setiap bahagian Umno.

No comments: