Oleh Wan Faizal Ismayatim
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap beliau berhubung dakwaan tawaran rasuah yang diterimanya, mempunyai agenda tersembunyi.
Beliau berkata, siasatan itu menimbulkan tanda tanya kepadanya kerana badan terbabit menyiasat dakwaan terbabit selepas kejadian itu berlaku 17 tahun lalu.
"Kenapa baru timbul sekarang? Benda ini (tawaran rasuah) berlaku pada akhir 1990 atau awal 1991, saya pun dah tak ingat sebab dah 17 tahun berlalu.
"Kalau benda ini salah, kenapa tak disiasat dari dulu, tentu ada something behind (muslihat disebalik siasatan)," katanya selepas menyaksikan perjanjian kemudahan pinjaman antara Bank Islam dan Syarikat Ladang Sungai Terah (SLST) Sdn Bhd di sini, semalam.
Nik Aziz bagaimanapun tidak menyatakan, sama ada sebelum ini beliau pernah mendedahkan kepada umum mengenai tawaran RM1 juta yang didakwanya dibuat seorang tauke balak kepadanya ketika dilantik sebagai Menteri Besar.
Kelmarin, BPR Kelantan diketuai Pengarahnya, Md Yusoff Md Zain, mengambil masa dua jam merekodkan keterangan Nik Aziz di pejabat Menteri Besar di Kota Darulnaim, di sini, berhubung dakwaan tawaran rasuah itu.
Keterangan itu diambil susulan arahan Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, Jumaat lalu supaya siasatan dilakukan terhadap dakwaan Nik Aziz yang didedahnya pada satu majlis 29 Oktober lalu, yang mengaku ditawarkan rasuah pihak tertentu sepanjang mentadbir Kelantan.
Dalam dakwaannya itu, Nik Aziz berkata, beliau menolak tawaran rasuah itu kerana menganggap pihak yang memberi atau menerima rasuah adalah golongan yang rendah tahap pemikirannya.
Nik Aziz berkata, beliau turut kecil hati kerana isu rasuah itu mendapat liputan meluas Radio Televisyen Malaysia (RTM), sedangkan ucapannya ketika pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sengaja tidak disiarkan.
"Saya kecil hati, ketika saya didatangi BPR, disiarkan berkali-kali dalam televisyen, (tetapi) ketika saya berucap (ketika pelancaran ECER) tak siar pula. Ini kezaliman Kementerian Penerangan.
"Orang seperti itu kalau boleh Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) buang. Gantikan otak dia dan salin dengan otak baru. Kenapa nak diskriminasi?," katanya.
Beliau merujuk tindakan RTM tidak menyiarkan ucapannya ketika pelancaran ECER, sedangkan beliau dijemput Perdana Menteri untuk berucap pada majlis itu.
Malah, katanya, Abdullah menunjukkan contoh keperibadian yang baik dengan memimpin tangannya menuruni pentas kerana tidak pernah dilakukan pemimpin lain sepanjang 17 tahun dilantik sebagai Menteri Besar.
"Pak Lah ini satu benda pelik yang dia buat dan tiada pada masa dulu ialah datang Kelantan dan pegang tangan saya, sedangkan saya ini musuh bagi Umno dan Umno juga musuh saya.
"Tapi dia pegang tangan saya, ini satu fenomena yang cukup baik, kenapa tak boleh terima? Lebih-lebih lagi dia datang ke Kelantan dan jemput saya serta berada di atas pentas yang sama," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment