Wednesday, November 07, 2007

Puteri mahu semua IPTA capai taraf dunia



IKRAR: Perwakilan Pergerakan Puteri Umno melafazkan ikrar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno di PWTC, semalam.

Badan khas diwujud cari tenaga pengajar berkualiti: Noraini

PUTERI Umno yang memperjuangkan survival pendidikan anak Melayu dan keperluan meningkatkan keupayaan intelek generasi muda, mahu semua universiti awam distruktur semula bagi mencapai status universiti terbaik dunia.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad, berkata langkah itu perlu berikutan hasil kajian reputasi akademik institut pengajian tinggi awam (IPTA) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mendapati tidak ada universiti tempatan mencapai tahap terbilang atau bertaraf dunia.


Beliau mencadangkan satu jawatankuasa kecil dibentuk bagi mencari tenaga pengajar bertaraf dunia dan menjadikan universiti awam sebagai universiti contoh selaras matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bertaraf antarabangsa.

"Mungkin kos awal ke arah itu dianggap besar dan membebankan, tetapi kita perlu melihat kesan jangka panjang yang sememangnya berbaloi dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai hub kecemerlangan pendidikan tinggi terunggul di dunia," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu.

Noraini juga berkata, kerajaan perlu lebih kompetitif membayar gaji serta memandang serius isu kenaikan pangkat tenaga akademik tempatan supaya mereka tidak berhijrah ke luar negara.

�Usaha lain adalah melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara 2007 yang dilancarkan baru-baru ini. Puteri mengalu-alukan tujuh teras yang menjadi pemangkin kecemerlangan pendidikan tinggi negara terutama cadangan penubuhan Universiti Apex," katanya.

Noraini juga mendesak proses penyediaan modal insan dikaji semula secara total dan holistik bagi mengenalpasti segala kelemahan serta kelebihan di kalangan generasi muda berikutan pasaran kerja yang semakin berkurangan.

"Kita harus meneliti penawaran dan permintaan dalam pasaran dan mencari langkah pembetulan yang tepat berikutan kajian Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menyatakan walaupun kita mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik tahun ini, pasaran mencatat kekurangan hampir 200,000 peluang pekerjaan berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Punca utama keadaan ini ialah wujudnya peralihan nilai kerja daripada buruh yang tidak berintensifkan kemahiran kepada buruh berintensifkan kemahiran-teknologi dan ilmu pengetahuan. Peralihan ini tidak saja berlaku di Malaysia, malah negara maju seperti Amerika Syarikat," katanya.

Noraini mencadangkan Kementerian Sumber Manusia menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti bidang yang sesuai dan diperlukan bagi tempoh bukan saja lima tahun, malah 10 tahun atau 20 tahun akan datang.

Menyentuh pencapaian wanita, beliau mahu lebih banyak peluang jawatan tinggi dibuka kepada golongan itu yang memenuhi kelayakan diperlukan dan pemilihan tidak harus dibuat berdasarkan jantina.

"Puteri ingin mengajak lelaki supaya sama-sama bersaing secara sihat dan tidak mempertikaikan soal merit. Sudah ada suara-suara yang mempertikaikan bahawa sistem merit yang diamalkan sekarang menjadi punca utama ketidakseimbangan antara pelajar perempuan dan lelaki di IPT tempatan," katanya.

Mengenai kes jenayah terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat, beliau mencadangkan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah yang melakukan jenayah seks dengan menguatkuasakan undang-undang lebih tegas.

"Kita boleh mencontohi negara seperti New Zealand mengenakan hukuman jika membiarkan anak berusia bawah 12 tahun berjalan berseorangan," katanya.

Noraini juga menggesa tindakan keras diambil terhadap pengendali laman blog yang menyiarkan artikel sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Beliau turut kesal dengan tindakan laman blog yang membangkitkan isu rasuah membabitkan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana ia boleh menjatuhkan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguat kuasa undang-undang, selain menjejaskan kemasukan pelabur asing ke Malaysia.

Mengenai penyalahgunaan SMS dan sistem pesanan multimedia (MMS) yang semakin meningkat, beliau mendesak diwujudkan garis panduan lebih ketat untuk memastikan stesen televisyen tidak sewenang-wenangnya memperkenalkan program yang mengajak penonton menghantar SMS, terutama bagi program kanak-kanak.

"Kita tidak mahu jika anak-anak kita dari awal terdedah dengan unsur negatif seperti ini, 20 tahun akan datang apabila mereka membesar, mereka akan berani untuk �explore� lebih daripada itu," katanya.

Berhubung isu kemasukan pekerja asing, beliau menyifatkannya sebagai serius dan mahu kajian terperinci dilakukan bagi mengupas punca sebenar permasalahan itu dan jika perlu, syarat pekerjaan bagi sektor yang membabitkan banyak pengambilan tenaga kerja asing dikaji semula.

"Syarat pekerjaan seperti upah, persekitaran tempat kerja lebih selamat dan faedah sampingan perlu dikaji dan disesuaikan supaya rakyat tempatan terutama anak muda boleh mengisi kekosongan dalam pelbagai sektor sokongan ini," katanya.

No comments: