Wednesday, November 07, 2007

Wanita mahu 30 peratus kerusi


BERGURAU... Rafidah Aziz tidak dapat menahan ketawa mendengar bunyi loceng kepunyaan Pengerusi Tetap, Napsiah Omar yang digunakan semasa perbahasan sambil diperhatikan oleh Sahahrizat Jalil dan Exco Wanita di PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Pergerakan Wanita UMNO mahu wanita yang berkelayakan dan berkemampuan diberi sekurang-kurangnya 30 peratus jawatan penting dalam parti termasuk bertanding di peringkat negeri dan Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, lebih ramai wanita perlu diberi peluang menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN), ahli Parlimen dan Ahli Majlis Tertinggi memandangkan ramai yang layak dan telah berkerja keras untuk mengukuhkan parti selama ini.

Jika dibandingkan keadaan di Malaysia dengan negeri lain kata Shahrizat, kedudukan wanita amat terkebelakang.

Katanya, pada masa ini tidak sampai 10 peratus wanita memegang jawatan sebagai pembuat dasar.

“Selepas persidangan ini saya akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kedudukan peratusan perwakilan wanita di negeri masing-masing.

“Saya percaya menteri dan menteri besar akan menimbangkan perkara ini apabila melihat angka yang ditunjukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas membahas ucapan dasar Ketua Pergerakan itu pada Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Wanita UMNO, di sini hari ini.

Menurut beliau, perwakilan wanita di Dewan Rakyat kini hanya 9.6 peratus dan di Dewan Undangan Negeri sebanyak 8.9 peratus.

Beliau berkata, selama ini wanita dalam pergerakan itu tidak mahu menonjolkan diri atau mahu berebut-rebut jawatan.

Sementara itu dalam ucapan perbahasannya, Shahrizat berkata, mengikut statistik Kesatuan Antara-Parlimen pada 31 Ogos 2007, Malaysia berkedudukan di tangga ke-98 daripada 189 negara di dunia dari segi pencapaian 30 peratus wanita di Parlimen.

Dari segi pengundi berdaftar pula, kata beliau, wanita lebih ramai daripada lelaki dengan pengundi wanita sebanyak 50.2 peratus berdaftar pada Mac tahun ini.

Pergerakan Wanita UMNO, kata beliau, mempunyai 1.3 juta ahli, Pergerakan Puteri pula mempunyai 280,502 ahli, manakala ahli UMNO di seluruh negara seramai 3.3 juta.

Mengikut keahlian parti, katanya, kekuatan Wanita termasuk Puteri terserlah, namun perwakilan wanita di Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan masih kecil.

No comments: