Wednesday, November 07, 2007

'Berubah saya bukan kerana si dia'

NAIB Ketua Puteri, Rosnah Abdul Shirlin, diberi sorakan gemuruh oleh perwakilan apabila akhirnya menjawab usikan dan gurauan beberapa pemimpin pergerakan itu mengenai perubahan penampilannya yang kini semakin ayu bertudung melalui dua rangkap pantun:

Pergi ke hutan mengambil rumbia,
Terjumpa rebung ambil saja,
Berubah saya bukan kerana si dia,
Berubah untuk memperbaiki diri.

Puan Rohani orangnya bijak,
Ditemani pula Zawiyah yang bergaya,
Percayalah adik-adik cinta pada jejaka hanyalah sekejap,
Cintakan Allah membawa ke syurga.

Rosnah yang memakai tudung berwarna merah jambu, tersenyum simpul dengan reaksi spontan perwakilan berhubung penjelasannya itu.

Rosnah yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Puteri, juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad yang disifatkannya tidak jemu-jemu mendidik serta memimpin pergerakan Puteri sehingga mencapai tahap yang sangat membanggakan itu.

"Menerusi kepemimpinan Noraini, terlalu banyak program akar umbi yang berjaya. Saya yakin apabila Puteri beralih kepemimpinannya, sudah tentu Datuk Noraini berjaya melakarkan sejarah tersendiri.

"Saya ingin menyeru sahabat dan ahli Puteri untuk terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan ketua kita dan sama-sama kita berdoa supaya beliau dikurniakan kesihatan yang sempurna untuk terus memimpin kita," katanya ketika menggulung ucapan dasar Ketua Puteri, semalam.

Rosnah yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Puteri, juga memuji usaha dedikasi ahli Puteri yang menyumbangkan khidmat cemerlang dalam menambah keahlian Puteri sehingga mencatatkan peningkatan keahlian tertinggi dalam sejarah iaitu 29.6 peratus atau 125,459 ahli dalam tempoh singkat.

No comments: