Wed | Nov 07, 07 | 11:11:42 am MYT
KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub turut dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi kenyataan mengenai perhimpunan aman menuntut pilihan raya yang adil dan bersih pada 10 November nanti.
Beliau menerima panggilan pada 3 November lalu melalui telefon bimbit, sistem pesanan ringkas (SMS) dan pos laju daripada seorang pegawai Bahagian Jenayah Komersial, Amran Mohd Husin.
Bagaimanapun, melalui nasihat para peguamnya, Salahuddin tidak hadir ke Bukit Aman untuk memberi kenyataan berhubung perhimpunan aman itu.
Sebelum ini, Salahuddin membuat arahan khas kepada ahli Pemuda PAS seluruh negara agar hadir ke perhimpunan aman di Dataran Merdeka jika "mereka benar-benar mengaku sebagai Pemuda PAS".
"Jangan hiraukan sebarang halangan atau ugutan daripada pihak polis. Saya yakin dan percaya Pemuda PAS seluruh negara berani dan tidak gentar mendepani sebarang masalah dan rintangan daripada pihak polis mahupun kerajaan," tegasnya.
Sementara itu enam daripada Ahli Jawatankuasa Bersih terdiri daripada Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, AJK Bersih, Sivarasa Rasiah, Johari Abdul, Khairul Annuar Zainuddin (Jonah), Tian Chua dan Ronnie Liu turut dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi kenyataan mengenai gabungan Bersih di bawah Akta Pertubuhan.
Mereka yang terlibat akan berjumpa dengan bahagian tersebut pada 12 November nanti.
No comments:
Post a Comment