Anggota patut diberi peluang pilih pergerakan diingini: Rafidah
KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno menolak cadangan supaya wanita berusia bawah 35 tahun ditawarkan keahlian secara automatik dalam Pergerakan Puteri kerana pembabitan mereka dalam mana-mana sayap parti tidak boleh dipaksa.
Ketua Wanita, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata wanita muda harus diberi peluang membuat pilihan menyertai pergerakan yang mereka mahu.
"Kami berpendapat tidak perlu dipaksa, mereka harus diberi pilihan sama ada nak masuk Wanita atau Puteri. Jangan buat begitu kerana nak meramaikan ahli kerana ramai juga wanita muda tak mahu masuk Puteri kerana mahu ikut kakak, mak cik atau ibu yang aktif dalam cawangan dan bahagian atau menjadi pemimpin.
"Jadi, dia ada pengalaman (ikut keluarga) untuk berkecimpung dalam pergerakan itu (Wanita Umno). Wanita tidaklah setuju," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungannya pada Persidangan Wanita Umno.
Beliau diminta mengulas cadangan supaya wanita berusia bawah 35 tahun ditawarkan keahlian secara automatik dalam Puteri Umno yang diutarakan ketua sayap itu, Datuk Noraini Ahmad, ketika menyampaikan ucapan dasarnya.
Noraini berkata, cadangan itu bertujuan memudahkan pendaftaran keahlian baru, sekali gus meningkatkan jumlah wanita muda dalam Umno.
Rafidah berkata, Wanita Umno tidak akan menyekat jika ada wanita muda mahu menyertai Puteri kerana ia mengamalkan sikap terbuka.
"Tentu sekali yang muda sangat itu digalakkan masuk Puteri kerana di situ mereka mendapat kawan seperjuangan, membuat kerja yang memang dilakukan anak muda.
"Bagaimanapun, bagi yang menganggap mereka matang dari segi kecenderungan dalam politik kerana keluarga dan sebagainya, mereka disambut dalam Wanita Umno... masuk parti tiada paksaan, tak boleh paksaan," katanya.
Ditanya sama ada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman hadir pada perhimpunan itu, Rafidah berkata: "Tak tahu pulak, dia bukan Wanita Umno atau wakil Wanita. Saya pun sibuk sangat," katanya.
Rafidah juga berkata, beliau tidak membaca akhbar Buletin Rakyat yang menyiarkan berita mengenainya dan Azalina. "Saya tak baca surat khabar nyamuk," katanya.
Terdahulu, ketika menggulung perbahasan, Rafidah berkata, beliau terharu dengan ikrar dilafazkan perwakilan Wanita Umno yang menyokong kepemimpinannya.
"Semua pembahas yang bangun berucap melafazkan sokongan tidak berbelah bagi kepada saya. Saya sanjungi dan hargai sokongan semua perwakilan," katanya sambil menyifatkan ia memberinya semangat dan dorongan untuk berkerja lebih kuat untuk parti dan bangsa.
"Saya dan Shahrizat (Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil) bekerja sebagai satu pasukan. Tiada apa kami tidak boleh bincang bersama. Kadang-kadang tak payah nak tunjuk kemesraan kerana kami tahu di mana kedudukan kami sebagai ketua dan naib ketua," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment