BERSEMANGAT: Khairy ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda, semalam. |
Khairy minta ahli, pemimpin Pemuda jalin kerjasama erat bela nasib bangsa
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mengingatkan ahli Umno supaya tidak cemburu dengan kejayaan rakan dalam parti, sebaliknya menyokong mereka kerana ia adalah rezeki masing-masing.
Khairy menyampaikan masejnya itu dalam bentuk cerita tiga budak hitam yang dinamakannya Khairy, Reezal (Exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican) dan Azeez (Pengerusi Biro Putera, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim) yang menemui sebiji botol yang di dalamnya ada jin ketika berjalan dalam hutan.
Katanya, jin itu berjanji menunaikan apa juga permintaan tiga budak hitam itu jika mengeluarkannya daripada botol.
Beliau berkata, Khairy meminta menjadi putih dan kacak seperti beliau hari ini dan disambut ketawa oleh perwakilan, manakala Reezal meminta menjadi lebih putih dan mencapai tahap kacak maksimum.
Azeez pula, katanya, yang tidak tahan melihat Khairy sudah putih dan Reezal menjadi kacak tetapi tidak boleh meminta sedemikian kerana Reezal sudah meminta kacak yang maksimum, meminta jin menjadikan Khairy dan Reezal supaya lebih hitam daripadanya.
"Moral cerita ini ialah bila sahabat dapat kejayaan, jangan cemburu... itu rezeki dia, patut sama-sama sokong," katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Ketua Pemuda.
Sementara itu, Khairy berkata, perkongsian kuasa antara kaum juga perlu membabitkan perkongsian kuasa ekonomi dan bukan sekadar perkongsian politik semata-mata.
Katanya, setiap kaum mesti berkompromi seperti Umno yang memberikan tempat kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) bertanding di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun jika mengikut majoriti penduduk, lebih ramai calon Umno yang boleh bertanding di kawasan berkenaan.
"Apabila sebut perkongsian kuasa, jangan hanya sebut perkongsian kuasa politik... Umno saja yang bagi dan bagi. Kita harus juga cakap perkongsian kuasa dalam ekonomi, itulah yang diperjuangkan kita di bawah Agenda Melayu," katanya.
"Umno parti yang berbesar hati. Kita tengok saja pengagihan kerusi Parlimen dan DUN, kalau ikut majoriti Melayu lebih banyak lagi calon Umno yang layak bertanding tapi kita bermurah hati.
"Presiden-presiden parti komponen kalau tidak, tak ada tempat bertanding kerana tidak ada majoriti bangsanya. Di Sungai Siput kita beri bertanding, di Kapar kita bagi bertanding, di Kota Raja kita bagi bertanding, malah di Pontian kita bagi bertanding sebab semua ini rakan kita.
"Apabila kita lihat kepada semangat bermurah hati Umno ini, jangan sekali-kali anggap kita parti perkauman. Kita menjaga maruah BN," katanya.
Khairy juga menegaskan Pemuda Umno akan terus menghunus dan menjunjung keris Panca Warisan selama-lamanya dan berharap tiada wartawan akan mengemukakan pertanyaan mengenainya pada masa depan.
"Pada masa akan datang, siapa saja (ahli Pemuda Umno) yang tidak berani menghunus dan menjulang keris Panca Warisan adalah pengkhianat kepada bangsa dan parti," katanya.
Katanya, kebangkitan semula Pemuda Umno melalui rangkaian sedia ada di bawah Datuk Seri Hishammuddin Hussein mesti diteruskan supaya Pemuda bukan saja menjadi benteng pada pilihan raya, malah membantu mempercepatkan pelaksanaan strategi kerajaan.
Beliau juga mengingatkan parti pembangkang supaya menggunakan gelanggang yang betul, iaitu pilihan raya umum jika mahu melawan kerajaan dan bukannya cuba menjadi hero dengan menganjurkan perhimpunan haram.
"Saya cabar pembangkang jangan keluar di jalan raya, jangan cuba jadi hero di jalan raya, jangan buat seperti beruk di jalan raya.
"Kalau betul nak lawan, lawan dalam gelanggang sebenar... lawan seperti jantan dalam gelanggang sebenar... pilihan raya umum akan datang, kita lawan," katanya.
No comments:
Post a Comment