KETUA Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan ahli pergerakan itu bersedia untuk menggempur dan meleburkan parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
Sambil meminta mereka melupakan dulu pemilihan parti yang akan diadakan selepas pilihan raya itu, Hishammuddin berkata, Pemuda perlu memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) kerana perancangan agenda dan program semata-mata tidak bererti tanpa mandat serta kepercayaan rakyat.
"Jawatan tinggi yang dikejar dalam parti tidak membawa erti jika parti tidak dihormati masyarakat luar, sebab itu tumpuan pada Perhimpunan Agung Umno tahun depan tidak penting, lebih-lebih lagi hari ini kita tahu pilihan raya akan diadakan sebelum itu.
"Buktikan kepada saya, buktikan kepada pucuk pimpinan bahawa saudara adalah generasi dan pemimpin muda yang boleh diharapkan. Buktikan kepada kami bahawa kita mampu menggempur kekuatan pembangkang dan meleburkan impian mereka... boleh?," katanya sambil disambut serentak perwakilan dengan jawapan "Boleh".
Turut hadir menyaksikan sesi penggulungan perbahasan dan penangguhan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.
Hishammuddin yang berulang kali menyatakan kekuatan Pemuda Umno kini berada pada tahap tertinggi, berkata pergerakan Pemuda parti komponen BN juga sudah menyatakan ikrar dan sokongan terhadap perjuangan Umno di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan Pemuda BN di Putrajaya pada 26 Ogos lalu.
"Ketua Pemuda dan Presiden mereka sudah menyatakan sesungguhnya menerusi kerajaan BN bukan saja orang Melayu tetapi kaum lain turut mendapat pembelaan," katanya yang kemudian meminta semua perwakilan bangun dan bersama melafazkan "Ikrar Pemuda Merdeka" yang dilafazkan pada perhimpunan Pemuda BN itu.
Lafaz ikrar itu disudahi dengan laungan "Sedia Gempur" sebagai tanda ahli pergerakan itu bersedia melancarkan gerak kerja jentera pilihan raya umum akan datang.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Hishammuddin melahirkan rasa puas hati dengan kualiti perbahasan setiap perwakilan yang bersandar kepada kajian serta disulami fakta dan perangkaan.
"Cara penyampaian mereka juga menunjukkan kebijaksanaan barisan Pemuda, sekali gus mampu meyakinkan semua pihak terhadap keikhlasan perjuangan kita," katanya.
Mengenai kemungkinan berlaku perebutan sengit pada pemilihan pucuk kepemimpinan parti akan datang, beliau berkata: “Kita kena lihat kedudukan kita dulu, apa guna bertanding jika parti tidak kuat”.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment