SEBAIK Datuk Seri Hishammuddin Hussein selesai menyampaikan ucapan dasar pada persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda Umno semalam, ada yang bertanya-tanya apakah ia ucapan dasar terakhir atau kedua terakhir beliau sebagai ketua pergerakan itu sebelum 'berhijrah' ke tangga lebih tinggi dalam hierarki parti.
Di kalangan perwakilan pergerakan Pemuda dan tidak terkecuali Umno secara umumnya, cakap-cakap mengenai kemungkinan Menteri Pelajaran itu meninggalkan jawatan semasanya untuk bertanding salah satu jawatan Naib Presiden memang sudah lama kedengaran.
"Jika kita boleh baca, tayangan video sebelum ucapan dasar seolah-olah memberi bayangan ke arah itu. Tayangan itu banyak menonjolkan perjuangan Pemuda pimpinan beliau sebelum ini terutama sewaktu menangani krisis selepas 1998 pada zaman reformasi sehingga berjaya mengembalikan keyakinan serta mengukuhkan semula barisan Pemuda," kata seorang perwakilan.
Namun, dalam ucapan dasarnya, Hishammuddin tidak memberi sebarang bayangan meskipun pada babak awal ucapannya antara lain beliau menyebut: "Sepanjang diamanahkan memimpin Pemuda, saya memilih untuk menggunakan jalan terbaik dalam menangani krisis". Di sebalik semua itu, jika ditanya kepada pemimpin Umno termasuk Pemuda secara terbuka, pasti mereka mahu ahli parti menumpukan perhatian untuk persiapan menjelang pilihan raya umum akan datang daripada membuat spekulasi mengenai masa depan pemimpin paling kanan mereka itu.
Bagaimana pula dengan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin. Adakah beliau sudah bersedia untuk memimpin pergerakan itu selepas Hishammuddin? Ketika diajukan soalan itu dalam satu pertemuan baru-baru ini, Khairy sambil tersenyum berkata ia soalan yang tidak relevan pada masa sekarang.
Suka atau tidak, rakan seperjuangan Hishammuddin, 46, ketika mula memimpin Pemuda pada 1998, kini sudah tiada dalam pergerakan itu kerana melebihi had umur 40 tahun dan sebahagian daripada mereka sudah memegang jawatan penting dalam parti induk pada peringkat bahagian. Jarak usia antara Hishammuddin dan barisan kepemimpinan Pemuda yang ada termasuk Khairy, 31, agak jauh, tetapi gandingan mantap Hishammuddin-Khairy berjaya membawa perubahan ketara dalam pergerakan itu. Malah, kini lebih separuh Pemuda pelbagai peringkat sudah melebihi had umur.
Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Sungai Siput, Dr Ahmad Shamsuddin Ramli, berkata era perubahan dalam kepemimpinan Pemuda Umno di bawah kepemimpinan kedua-dua mereka menampakkan kematangan, berpengalaman serta bijak.
"Mereka adalah gandingan mantap dalam konteks profesional yang memperlihatkan karisma kepemimpinan. Saya nampak kedua-duanya mampu menterjemahkan visi kepemimpinan parti untuk membawa bangsa Melayu mengharungi cabaran 2020 dan 50 tahun lagi.
"Saya yakin KJ (Khairy) mampu membawa Pemuda ke satu tahap yang lebih perkasa demi kelangsungan hidup bangsa Melayu. Saya harap lebih ramai Pemuda diberi peluang sebagai calon dalam pilihan raya akan datang agar kepemimpinan pelapis dan bakat dalam Pemuda sebagai penyambung kepemimpinan Umno diketengahkan," katanya.
Namun, di sebalik kemungkinan besar berlaku pertukaran kepemimpinan dalam Pemuda Umno pada pemilihan parti akan datang, sayap Wanita pula kelihatan masih utuh di bawah pimpinan Datuk Seri Rafidah Aziz. Tiada bayangan daripada Rafidah untuk mengundur diri setakat ini meskipun diasak dengan kenyataan kontroversi Umno Bahagian Cheras yang mengumumkan sokongan terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk dicalonkan sebagai Ketua Wanita Umno pada pemilihan akan datang.
Kecuali pertembungan Rafidah-Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman lebih sedekad lalu, tiada saingan sengit dalam sejarah pemilihan Wanita Umno. Alangkah baik jika Azalina boleh bergandingan dengan Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi memantapkan pergerakan itu.
Bagaimana pula dengan Puteri?. Datuk Noraini Ahmad yang menyambut ulang tahun ke-40 hari ini, sudah pasti akan meninggalkan sayap itu selepas pemilihan akan datang kerana lebih had umur. "Kepada ahli Puteri yang akan meninggalkan pergerakan ini kerana faktor usia, teruskan perjuangan dalam Wanita Umno. Teruskanlah semangat yang ada dalam Wanita," kata Noraini dalam ucapan dasarnya semalam.
Ini bermakna, Wanita Umno akan kaya dengan sumber daripada Puteri bagi mengukuhkan lagi jentera pergerakan itu dan Noraini kemungkinan besar akan turut mengintai jawatan dalam Wanita. Buat permulaan, eloklah Noraini bermula pada peringkat bawah bertanding jawatan exco Wanita meskipun kedudukannya sekarang selaku Ketua Puteri berstatus Naib Presiden, kecuali jika ada tawaran terbuka daripada Wanita.
Kepada Wanita Umno sama ada pada peringkat pusat, negeri atau bahagian, eloklah diberi kerjasama kepada anak muda Puteri dan jangan sekat mereka untuk menyertai pergerakan itu kerana tenaga mereka amat perlu sebagai pewaris masa depan dalam Umno. Tidak dinafikan sebahagian ahli Puteri ketika zaman Azalina kini sudah berada dalam Wanita dan kekuatan itu nanti akan memberi kelebihan kepada Azalina dan Noraini dalam Wanita.
Sesungguhnya, perhimpunan agung Umno kali ini dilihat sebagai satu tapak kepada tiga pergerakan kepemimpinan dalam sayap parti untuk mengisi kesinambungan teraju parti pada masa depan.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment