KETUANAN MELAYU: Hishammuddin menerima Keris Panca Warisan daripada Mohd Zulhaili Mansor sambil diperhatikan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (kiri) sebelum menyampaikan ucapan di PWTC, semalam. |
Pejuang tulen tidak gentar hadapi kecaman, ugutan: Hishammuddin
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menegaskan ahli pergerakan itu yang tidak setia dan menjadi petualang kepada perjuangan Umno memartabatkan bangsa, agama dan negara, tidak mempunyai tempat dalam pergerakan itu.
Sambil menegaskan kehadiran mereka dalam parti tidak akan bermakna, beliau berkata, perjuangan memartabatkan Melayu dan negara bukan sesuatu yang mudah, manakala pejuang tulen tidak sesekali-kali tunduk atau gentar kepada kecaman serta ugutan.
"Pejuang juga tidak kecewa walaupun ada kalanya dipinggir dan dilupakan. Semuanya tersimpul dalam satu kalimah keramat iaitu perjuangan. Inilah inti pati kewujudan kita. Inilah teras kebangkitan kita. Inilah obor yang menjadikan rangsangan buat kita selama ini.
"Atas nama perjuanganlah kita digerakkan dan perjuangan jugalah yang menentukan siapa kita sebenarnya. Kewujudan kita tidak akan bermakna jika kita meminggirkan perjuangan," katanya berucap di hadapan 787 perwakilan pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Walaupun Hishammuddin menyampaikan ucapan yang bertemakan Pemuda Perjuangan itu dalam nada perlahan hampir sejam, perwakilan memberikan tumpuan, seolah-olah mendengar amanat terakhir beliau yang dikatakan akan melepaskan jawatan Ketua Pemuda Umno untuk bertanding kerusi Naib Presiden Umno pada pemilihan parti akan datang.
Seperti menjawab kritikan terhadap kepemimpinannya, Hishammuddin juga berkata, beliau rela disalah tafsir asalkan matlamat menjayakan agenda bangsa tercapai kerana tidak mungkin seseorang pemimpin dapat memuaskan hati semua orang, apa lagi melayan segala permintaan.
Katanya, sepanjang diamanahkan memimpin Pemuda, beliau memilih pendekatan terbaik dalam menangani krisis ibarat 'menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak' supaya perpaduan yang terjalin sesama rakan di dalam dan luar parti tidak tergugat.
"Kita boleh memilih untuk berkonfrantasi jika perlu dengan mengambil pendekatan bertemu buku dengan ruas. Kita tidak pernah gentar berhadapan dengan mana-mana golongan yang menyentuh dan mempertikaikan kedudukan bangsa dan agama.
"Namun, ada kalanya pendekatan berhikmah dapat menyelesaikan kekusutan dan menguntungkan semua pihak. Maruah Melayu tetap terpelihara, keharmonian terjamin dan persefahaman tercapai," katanya sambil menambah kuasa politik tidak seharusnya mengorbankan nilai dan prinsip diri sehingga menjadikan seseorang angkuh, rakus, korup dan lupa daratan.
Menyentuh cabaran masa depan, Hishammuddin berkata, Pemuda perlu lebih agresif mendekati generasi muda bagi membentuk agenda masa depan yang mengambil kira harapan dan aspirasi mereka, selain membawa mereka berada dalam wadah perjuangan Umno.
Justeru, katanya, Pemuda Umno harus membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda hari ini seperti generasi sebelumnya membuka ruang kepada ahli pergerakan itu sekarang untuk berada dalam bahtera Umno.
No comments:
Post a Comment