Wednesday, November 07, 2007

Aniaya Dr M: Ahli Umno buat laporan polis ke atas PM

Abdul Halim Mohd Rashid
Tue | Nov 06, 07 | 11:00:10 pm MYT

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Hrkh) - Seorang Ahli Jawatankuasa Umno cawangan, Johari Ismail mengemukakan laporan polis terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana "melanggar peraturan mesyuarat dan wujud unsur konspirasi melakukan ‘jenayah politik’ kepada bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad".

Blogger Ahirudin Attan melaporkan di dalam blognya, Rocky's Bru, laporan tersebut dibuat oleh Johari, Ahli Jawatankuasa Umno cawangan Kampung Tahang Rimau, Segamat, di Balai Polis Dang Wangi kira-kira pukul 4.25 petang hari ini.

Dalam laporannya itu beliau menyatakan, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno 28 Ogos 2006 lalu telah membincangkan secara terperinci usaha menggagalkan Dr. Mahathir untuk bertanding sebagai Perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung Umno 15-17 November 2006 dalam Mesyuarat Agung Tahunan Umno Bahagian Kubang Pasu pada 9 September 2006.

Dalam perbincangan mesyuarat Majlis Tertinggi itu, kata Johari, turut dirakamkan tugasan-tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada beberapa ahli MT untuk dilaksanakan bagi memastikan Dr. Mahathir gagal dipilih sebagai Perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu.

"Setelah menyedari Minit Mesyuarat pada 28 Ogos itu mengandungi perbincangan secara terperinci mengenai niat jahat menghalang mantan Presiden Umno itu dipilih sebagai Perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu, maka Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan Brig. Jen (B) Dato’ Hussainay Hashim, Setiausaha Kerja MT Umno, mewakili Sekretariat Umno agar tiga muka surat Minit Mesyuarat tersebut dikecualikan dari Minit Mesyuarat asal.

"Walaupun ditegur oleh Ahli MT Umno YB Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim kerana perbuatan mengecualikan sebarang maklumat dari Minit Mesyuarat yang telah direkod dan sediakan itu sebagai menyalahi peraturan mesyuarat, namun begitu Presiden Umno masih berdegil.

"Maka arahan itu dilaksanakan dan Minit Mesyuarat rasmi pada MT Umno 28 Ogos 2006 telah mengecualikan tiga helai muka surat asal mengenai perbincangan mengenai usaha mengagalkan pemilihan mantan Presiden Umno sebagai Perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu pada 9 September 2006.

"Oleh demikian, kerana MT Umno telah mengesahkan satu Minit Mesyuarat pada 28 Ogos 2006 yang telah di’ubahsuai’, maka saya minta siasatan dibuat kerana ini jelas melanggar peraturan mesyuarat dan wujud unsur konspirasi melakukan ‘jenayah politik’ kepada mantan Presiden Umno," kata Johari dalam laporan polis itu.

Bercakap kepada sidang akhbar selepas itu, Johari yang pernah memenangi anugerah kewartawanan dalam tahun 80an menegaskan bahawa beliau "mempunyai bukti".

"Saya melakukan ini sebagai ahli Umno yang prihatin," kata Johari. "Saya prihatin terhadap penghakisan di dalam Umno".

Beliau juga menegaskan bahawa beliau sanggup menghadapi apa jua akibat berikutan tindakannya itu.

Beliau juga, katanya, tidak disuruh oleh mana-mana pemimpin Umno untuk mengemukakan laporan itu.

Johari terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengemukakan laporannya itu kerana anggota polis di situ terpaksa memanggil balik pegawai atasannya yang bertugas di bangunan PWTC, di mana berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno tahun ini.

No comments: