PEMUDA Umno Perlis meminta kepemimpinan parti mengambil kesempatan daripada kemerosotan sokongan kepada parti pembangkang, terutama Pas, untuk meningkat dan mengukuhkan sokongan rakyat kepada kerajaan.
Wakil pergerakan itu yang juga Ketua Pemuda Bahagian Kangar, Hamunir Hamzah, berkata bagi mencapai sasaran ini, Umno perlu bijak memilih tokoh dan kepemimpinan Islam yang berfikiran terbuka dalam memberi pandangan baru untuk memenangi hati rakyat.
Katanya, kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap Pas disebabkan kesilapan mereka sendiri yang bertindak melampaui batas sehingga dianggap tidak lagi relevan dengan prinsip dan kehendak masyarakat Islam.
"Kita minta supaya selepas ini jangan ada lagi ulama Umno atau golongan aliran agama dalam parti yang bersifat jumud dan takut untuk mengubah minda orang Melayu dalam beragama.
"Sebaliknya, apa saja pandangan atau pemikiran baru yang segar serta serasi dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah mestilah diberi ruang oleh kepemimpinan parti," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Ketua Pemuda.
Hamunir berkata, Umno juga perlu bersedia termasuk melaksanakan pendekatan yang lebih mudah untuk difahami rakyat seperti yang pernah dilakukan pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Katanya, akibat pendekatan yang sukar difahami, pandangan positif terhadap Islam masih gagal untuk mencapai tahap sepatutnya biarpun Umno memiliki ramai pendakwah dan bijak pandai Islam.
"Bagi memperbaiki keadaan ini, peningkatan kefahaman Islam di kalangan golongan agama dalam Umno sendiri perlu diteruskan, selain menganjurkan program agama yang lebih matang dan relevan," katanya.
Wakil Pergerakan Pemuda Perlis itu juga meminta pihak yang berkaitan mengkaji semula program hiburan di televisyen yang kini memberi banyak kesan negatif kepada generasi muda.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment