PENGALAMAN berpidato dan berceramah sejak menyertai Pemuda Umno pada 1988, banyak mengajar Ketua Pemuda Gombak, Ismail Ahmad untuk mengeluarkan idea spontan, tetapi membawa maksud mendalam.
Baginya, tiada jalan pintas untuk berjaya kecuali melatih diri meningkatkan kemahiran, selain sentiasa fokus serta mengikuti perkembangan semasa dengan membaca surat khabar atau melayari internet setiap hari.
Walaupun kali pertama berucap pada Persidangan Perwakilan Pemuda Umno, ia tidak membataskan beliau untuk menyediakan lawak jenaka spontan sehingga menyebabkan perwakilan tidak kering gusi mendengar ucapannya.
Beliau bagaimanapun mengakui, pengalaman sulung berucap di pentas nasional yang dihadiri barisan kepemimpinan tertinggi Pemuda Umno, menyebabkanya berasa gementar serta bimbang tidak dapat menepati masa yang ditetapkan.
Namun, beliau bertawakal dan menguatkan keyakinan diri supaya Allah memberi ketenangan dalam diri.
"Apabila berucap pada ceramah politik, saya lebih gemar tidak mengikut teks tetapi sentiasa memastikan mesej sampai kepada hadirin. Ucapan saya memang akan selitkan pantun yang membawa maksud pentingnya perpaduan ahli pada semua peringkat," katanya.
Apa yang menarik, beliau hanya diberitahu supaya menjadi wakil Pemuda Umno Selangor untuk membahaskan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, tiga hari lalu.
Ditanya mengenai persiapan perbahasan menyentuh isu politik, beliau berkata selain menerusi pembacaan, beliau memperoleh input melalui pemimpin akar umbi.
Bapa kepada dua anak itu berkata, sokongan rakan seperjuangan selain sering mengikuti ceramah oleh tokoh pemimpin terdahulu banyak mengajar beliau mengenai teknik menjadi pemidato berkesan.
"Mula-mula memang gementar, tapi beransur-ansur hilang bila perwakilan mula beri perhatian dan boleh mengikuti ucapan dan faham mesej yang hendak disampaikan," katanya.
Selain itu, beliau mengakui tidak cukup rehat sehari sebelum berucap kerana perlu menyelesaikan banyak tugasan berkaitan parti.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment