"JANGAN lihat Umno dari jauh atau sekadar mendengar cakap-cakap negatif mengenai parti ini, tetapi sepatutnya Umno didekati untuk mengetahui matlamat penubuhannya yang sebenar."
Itulah nasihat Ketua Puteri Umno Sipitang Dayang Maimunah Sidek (gambar) kepada golongan muda kerana sebelum menyertai Puteri pada 2002, beliau sendiri berpandangan serong terhadap Umno akibat terpengaruh dengan tohmahan pelbagai pihak yang iri hati dengan pencapaian cemerlang Umno.
"Sebelum menyertai Umno, saya hanya mengenali Umno sebagai parti politik mengutamakan wang dan kuasa saja, tapi tanggapan itu meleset sama sekali apabila Umno sebenarnya berjuang mempertahankan kemerdekaan.
"Malah, saya amat tertarik dengan Umno membantu Bumiputera Sabah memperoleh hak terutama penghapusan sistem penggiliran Ketua Menteri yang kini membawa kepada pentadbiran yang lebih stabil berbanding dulu," katanya.
Ibu kepada seorang putera, Muhammad Haiqal Danish Alirahman, 4, itu berkata menerusi Umno, generasi muda di Sabah berpeluang menyuarakan pandangan dan hasrat untuk memajukan diri, berbanding sebelum pembabitan Umno apabila golongan itu dianggap keanak-anakan dan sekadar mampu akur dengan pihak berkuasa.
Berdasarkan pengalaman yang dilaluinya, wanita pernah memangku jawatan Guru Besar di Sekolah Agama Rakyat Lingkungan, Beaufort itu menanam hasrat untuk terus berjuang membela nasib rakyat Sabah, terutama golongan muda menerusi Puteri Umno.
No comments:
Post a Comment