KETUA Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad mahu suara wanita muda didengari sesuai misi penting sayap itu dalam tempoh 50 tahun akan datang untuk membawa Malaysia menuju kegemilangan melalui Gagasan 2057. Noraini berkata, generasi muda sekarang semakin matang mengendalikan sesuatu isu dengan melontarkan pelbagai pendapat bernas. "Kita akan buktikan kepada masyarakat bahawa pemikiran generasi muda mampu membawa kepada kemajuan negara menjelang 2020 seperti yang digariskan pemimpin kita," katanya ketika menggulung Persidangan Puteri Umno 2007. Noraini berkata, Puteri Umno yang baru menjangkau usia enam tahun sudah menunjukkan kepemimpinan membawa generasi muda lebih maju. "Kami ada acuan sendiri... ada jati diri yang kuat untuk meremajakan Umno dan kami akan buktikannya," katanya. Noraini bagaimanapun menasihatkan ahli Umno jangan berhasad dengki dengan kejayaan orang lain jika mahu mencapai kemajuan diri. Dalam isu berbeza, beliau berkata, hukuman lebih berat terhadap penjenayah seksual membabitkan kanak-kanak seperti yang dinyatakan pembahas perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa bagi menangani isu itu. Pada sidang akhbar kemudian, Noraini berkata, beliau tidak memikirkan hakikat perlu berundur daripada memimpin sayap itu selepas usianya mencecah 40 tahun hari ini. "Tidak mengapa, kehidupan perlu diteruskan. Kita tidak terfikir pun (soal berundur). Sebab itu kita ada semangat persaudaraan walaupun sudah lepas (berkhidmat dalam sayap), kita masih kawan... itu yang kita pegang dalam Puteri Umno," katanya. Noraini berkata, beliau secara automatik akan menjadi ahli Wanita Umno tahun depan tetapi ketika ini tumpuannya lebih kepada persiapan Puteri Umno menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12. Noraini genap 40 tahun hari ini dan selepas persidangan ditangguhkan perwakilan menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi sambil beliau memotong kek.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment