TERTARIK: Rafidah melihat loceng yang digunakan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita, Tan Sri Napsiah Omar (berdiri tengah) untuk memberi peringatan kepada perwakilan bahawa masa berucap sudah tamat di PWTC semalam. Turut kelihatan Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Penolong Setiausaha, Datuk Faridah Abu Hassan (kanan) dan anggota jawatankuasa pergerakan Wanita. |
Rakyat patut manfaat demokrasi tingkat perpaduan, kestabilan negara: Rafidah
KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno tidak mahu sikap keterbukaan pemimpin dijadikan alat oleh mana-mana pihak untuk menjejaskan kepentingan masyarakat dan negara serta menjadi alasan tindakan antinasional dan merosakkan suasana harmoni yang sudah dipupuk selama ini.
Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata demokrasi tidak seharusnya disalah tafsir dan disalah guna secara melulu sehingga sentimen negatif diapi-apikan yang menyebabkan kestabilan negara tergugat.
Katanya, suasana keterbukaan yang ada sekarang sepatutnya memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan negara kerana percambahan minda dan fikiran meningkatkan keupayaan masyarakat dan negara untuk bersaing serta berlumba mencapai kejayaan dan kecemerlangan.
Beliau kesal kerana ada pihak yang sudah menyalahguna suasana lebih terbuka ini dan sudah muncul bibit-bibit chauvinisme dan pergeseran.
"Demokrasi dan kebebasan individu tidak seharusnya memudaratkan yang lebih ramai. Kumpulan kecil tidak boleh dibenarkan mengkhianati kepentingan majoriti dengan mengganggu-gugat kestabilan, perpaduan dan persefahaman antara rakyat berbilang kaum," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu.
Dalam ucapan bertema 'Merdeka dan Terus Merdeka', beliau berkata, adalah jelas kepemimpinan negara yang bertunjangkan kepemimpinan Umno sudah berjaya membawa negara dan rakyat ke tahap kejayaan yang boleh dan wajar dibanggakan.
Rafidah berkata, perkongsian kuasa yang sentiasa didorong oleh semangat bermusyawarah dan bertimbang rasa serta kesederhanaan berjaya membawa kestabilan politik dan sosial serta membangunkan ekonomi negara.
Katanya, keadaan tidak stabil akan mula dirasakan apabila unsur chauvinisme, keterlaluan serta pandangan sempit dibiarkan yang boleh mendorong tindakan negatif.
"Semua pihak tidak kira keturunan, kaum serta agama mempunyai hak dan tempat sebagai warga negara Malaysia. Hak dan tempat ini akan lebih terjamin dan kukuh jika rakyat berbilang kaum sebagai bangsa Malaysia terus memberi sokongan dan mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan agenda dan misi nasional yang diterima semua," katanya.
Beliau juga berkata, sejarah sudah memberi petunjuk dan pengajaran sangat berharga untuk generasi sekarang dan akan datang dan mereka mesti sanggup belajar daripadanya untuk meneruskan apa yang baik dan berfaedah serta mengelakkan kepada sengketa, perpecahan dan kelemahan kepada negara dan rakyat.
Katanya, persoalan ini mungkin didorong oleh pergolakan yang diperhatikan dalam Umno serta perubahan dalam budaya yang diamalkan Umno.
"Perlu ditegas dan diingatkan bahawa Umno begitu berjasa kepada orang Melayu, rakyat dan negara. Pemimpin terdahulu dan sekarang tanpa memikir kepentingan diri, membawa rakyat dan negara serta orang Melayu ke tahap yang dibanggakan sekarang," katanya.
No comments:
Post a Comment