Wednesday, November 07, 2007

Perhimpunan Agung Umno 2007: Tayangan percuma insiden Batu Burok

Azamin Amin
Wed | Nov 07, 07 | 1:42:19 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Hrkh) - Seperti yang dilaporkan sebelum ini, fitnah isu Batu Burok masih diteruskan lagi di 'booth' Kerajaan Negeri Trengganu dengan memaparkan tayangan video secara percuma insiden berkenaan kepada orang awam yang hadir di PWTC hari ini.

Tayangan video yang memakan masa hampir 30 minit, menayangkan aksi-aksi individu-individu tertentu yang membaling batu dan dilabelkan di dalam video itu sebagai ahli PAS malah video itu memaparkan tajuknya "Bukti Keganasan PAS" yang menarik perhatian ramai ke 'booth' terbabit.

Video ini dipercayai belum pernah dipertontonkan sebelum ini di kaca TV dan diterbitkan oleh Unit Komunikasi Kerajaan Negeri Trengganu (Ukom) merujuk kepada nama Ukom yang dipaparkan di video itu namun daripada sudut rakaman kejadian itu diambil, beberapa orang awam yang menonton percaya bahawa video tersebut diambil oleh polis dan FRU.

Sebelum ini juga, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pernah menjelaskan bahawa hasil siasatan awal kejadian itu adalah mengikut laporan dan kenyataan yang diambil daripada saksi-saksi termasuk dua rakaman video yang dibekalkan oleh FRU dan polis.

Suruhanjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam pada sidang media di pejabat Suhakam 10 Oktober lalu menjelaskan bahawa polis sewajarnya menggunakan budi bicara dan mengelak daripada menggunakan senjata api sewaktu menyuraikan atau berhadapan dengan perhimpunan aman.

"Kita kutuk penggunaan peluru hidup oleh polis dan sepatutnya polis menggunakan 'standard' antarabangsa dalam menghadapi perhimpunan aman," katanya merujuk garis panduan dalam laporan Suhakam mengenai siasatan awam kejadian 'Bloody Sunday' di KLCC pada 2006.

"Sepatutnya polis mengelak berlakunya kekerasan,kecederaan dan penggunaan asakan fizikal tetapi sebaiknya menggunakan budi bicara serta perbincangan dalam menghadapi perhimpunan aman," katanya.

Dalam pada itu siasatan awal Suhakam tidak menemui sebarang bukti bahawa pihak penganjur mahupun pihak polis telah merancang untuk melakukan rusuhan pada malam tersebut.

Ketika ditanya wartawan, Siva berkata, siasatan awal itu gagal menentukan punca sebenar berlakunya rusuhan tersebut tetapi menjelaskan secara umum bahawa sesuatu yang dibenarkan tetapi dilarang menyebabkan perkara tersebut terjadi.

"Pada pandangan saya bahawa jika dibenarkan perhimpunan aman perkara seperti ini tidak akan berlaku," katanya yang memandang serius kejadian Batu Buruk itu.

Siasatan awal Suhakam yang diketuai oleh Siva sendiri telah menemubual sejumlah 43 individu yang terdiri daripada 13 "mangsa", 22 anggota polis dan lapan pemimpin parti pembangkang termasuk menyaksikan rakaman video antara 19 dan 20 September lalu.

Ditanya wartawan berhubung video insiden itu, Siva menjawab rakaman tersebut telah dibekal oleh pihak Polis dan FRU memandang penganjur mendakwa semua kamera dan video di pihaknya telah dirampas oleh polis sebelum ini.

Dalam insiden tersebut, tujuh orang dilaporkan cedera termasuk empat anggota polis dan dua orang awam yang terkena tembakan seorang anggota polis.


No comments: