Wed | Nov 07, 07 | 12:36:17 pm MYT
Tepat jam 10.35 pagi tadi, Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2007.Di awal ucapannya beliau menyentuh soal pendekatan Islam Hadhari yang baginya berjaya membawa dampak baru dalam pembangunan negara.
Abdullah dilihat cukup berbangga dengan pencapaiannya dengan konsep yang digariskan itu semasa Ucapan Dasarnya pada tahun 2004 sewaktu mula-mula menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Setelah tiga tahun beliau menjadi Presiden Umno dengan gagasan Islam Hadharinya, malangnya konsep yang dikatakan berjaya diimplimentasi kepada seluruh kepimpinan negara itu sebenarnya retorik belaka.
Pertamanya penulis melihat bahawa kes-kes rasuah yang cukup melampau berlaku di zaman Abdullah menjadi PM sedikitpun tidak membayangkan pendekatan Islam Hadharinya itu menyelesaikan masalah pokok dalam pentadbirannya.
Pentadbiran Abdullah dikejutkan dengan masalah rasuah yang dikaitkan dengan orang-orang kanannya antaranya, bekas ketua Pengarah BPR, Dato' Seri Zulkifli Mat Noor; Timbalan menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom; skandal kehakiman yang terdedah dalam 'Pita Lingam'; rasuah dan penyelewengan dipelbagai institusi kerajaan antaranya polis, kementerian belia dan sukan, dan beberapa kementerian lain.
Laporan audit negara pada tahun 2006 sudah cukup membayangkan pentadbiran Abdullah tidak cekap dan amanah kerana berlakunya penyelewengan di pelbagai kementerian.Meskipun tindakan dilakukan ke atas pegawai-pegawai kerajaan, namun tidak ada menteri yang terbabit diheret ke mahkamah.
Menjenguk semula kes rasuah dan skandal seks bekas Ketua Pengarah BPR seperti yang dilaporkan Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor dan bekas Pengarah Siasatan BPR, Ramli Manan, kes itu akhirnya ditutup dengan kenyataan dari Peguam Negara yang menyatakan bahawa tiada kes terhadap individu tersebut.
Selain itu dalam ucapan dasarnya, Abdullah juga menyentuh soal Umno menggunakan pendekatan Islam secara sederhana dan tidak sempit seperti yang diamal oleh sebuah parti yang menggunakan Islam (mungkin sekali ditujukan kepada PAS).
Melihat kepada ucapan itu, benarlah Abdullah menggunakan pendekatan sederhana dimana beliau sekali lagi memilih wanita idaman, Datin Seri Jeanne Abdullah yang tidak menutup rambut sebagai isterinya menggantikan almarhum isterinya, Datin Seri Hendon Mahmood.
Cukup sederhana pendekatan ini memandangkan dalam Islam Hadhari semuanya boleh, kata seorang rakan yang sejak semalam mengikut penulis membuat liputan perjalanan Perhimpunan Agung Umno 2007.
Isteri baru Abdullah ini hanya memakai tudung kepada ketika mengadakan lawatan kerja ke Kelantan sahaja memandangkan mungkin sekali beliau menggangap rakyat Kelantan akan menerimanya dengan imej bertudung 'kejap-kejap' itu.
Sejak tiga tahun menerajui Malaysia, pentadbiran Abdullah juga tidak sunyi dari dihujani dengan isu-isu antara agama, perpaduan dan kemelut kenaikan harga barangan serta keperluan.
Isu murtad yang diutarakan oleh Mutfi Kerajaan Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria cukup mengogarkan kepimpinan PM dengan kejutan laporan bahawa lebih 100,000 umat Melayu murtad.
Isu ini semakin menjai hangat dengan kes-kes murtad Lina Joy (Azlina Jailani); kematian M.Moorthy; serangan kumpulan Artikel 11 dan IFC yang didalangi oleh pertubuhan tertentu yang mendapat sokongan dari sembilan menteri kabinet Abdullah; isu pembunuhan ngeri Noorita Shamsuddin, pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengan skandal pembelian kapal selam oleh Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak; skandal penjualan aset negara kepada negara jiran, Singapura oleh menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin; kritikan pedas Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas PM dan kes pembunuhan ngeri Nurin Jazlin Jazimin.
Semua isu ini amsih dibiarkan berlegar dan tidak selesai kerana sikap membisu Abdullah yang seolah-olah tidak tahu apa-apa tentang hal yang berlaku.
Mengakhiri tahun 2007, pentadbiran PM masih dibayangi dengan kes-kes keganasan polis dalam kejadian Batu Buruk; kes Pita Lingam; keresahan PM menentukan tarikh pilihan raya dan perpecahan dalaman parti komponen BN.
Bagaimanapun dalam ucapan dasarnya, Abdullah tidak membayangkan kemelut itu sebenarnya menggangu pentadbirannya malah beliau berbangga dengan kejayaannya setakat ini.Ramai pemerhati bebas menyatakan pentadbiran Abdullah sangat lemah, malah sindiran sinis juga melingkari perjalanan Abdullah sepanjang menjadi Perdana Menteri kelima.
Beliau sering ditegur kerana keterlenaanya dalam banyak program yang dianjurkan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.Begitupun tidak dinafikan imej bersih Abdullah yang cuba dilakarkan oleh media-media arus perdana masih mampu menguit hati-hati masyarakat Melayu yang banyak menjadikan media arus perdana sebagai kitab mereka.
Melihat kepada inti ucapan dasarnya, nyatalah hamburan pujian melangit yang diutarakan dalam setiap inci kata-katanya menampakkan Abdullah mempunyai misi terdekat iaitu mahu mengatur Umno dan Barisan Nasional (BN) ke arah Pilihan Raya Umum ke-12.
Ada sumber menyatakan bahawa Abdullah akan melihat suasana perhimpunan kali ini untuk menentukan tarikh pilihan raya yang sebenar memandangkan perpaduan dalaman Umno itu penting bagi menjamin kemenangan mereka.
Seruan-seruan kepada wakil-wakil rakyat untuk tekad bekerja juga membayangkan 'signal' jelas kepada warga Umno dan seluruh rakyat tarikh pilihan raya umum sudah terjelma dalam ihlam Abdullah.
Begitupun setelah pelbagai kemelut pentadbiran dan kegusaran ekonomi dihadapi rakyat, ayat keramat 'islam Hadhari'; 'Cemerlang, Gemiliang, Terbilang' dan 'Marilah Bekerja Bersama Saya, Bukan Bekerja Untuk Saya' tidak lagi menjadi azimat seperti dalam pilihan raya lalu yang memberi kemenangan besar kepada Umno/BN.
Abdullah menunggu masa yang cukup sesuai dengan menjelmakan 'Feel Good Factor' untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-12.
Seperti kata Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa bahawa adakah 'Feel Good Factor' itu akan menjadi 'Bad Factor' sama-sama kita nantikan detik sebenar pilihan raya umum akan datang yang akan diumumkan oleh Abdullah bila-bila masa dari sekarang.
Perwakilan Umno yang datang hari ini mungkin sekali mendapat signal jelas untuk bersedia samada sebagai calon mahupun sebagai jentera pilihan raya.Jabatan kerajaan yang diarahkan mendengar isi ucapan perbahasan dan penggulungan pula menantikan signal untuk membantu Umno dalam pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment