WAKIL Wanita Umno Johor, Datuk Halimah Mohd Sadique, menarik perhatian perwakilan berikutan kelantangannya bersuara sehingga menggamatkan persidangan, terutama apabila meminta kerajaan membatalkan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Ucapan Halimah yang juga Exco Wanita Umno, sentiasa mendapat tepukan gemuruh perwakilan, sekali gus memberinya semangat bagi menyuarakan pandangan termasuk mempertahankan penggunaan bahasa Melayu di sekolah dan mempersoalkan kewajaran Kementerian Pelajaran menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran ber-kenaan.
"Mengapa hendak digunakan bahasa Inggeris sedangkan bahasa Melayu sudah terbukti mampu menjadi bahasa ilmu dan melahirkan profesional seperti jurutera, peguam dan sebagainya.
"Malah, bangsa Jepun dan Perancis, mampu menjadi negara maju dengan hanya menggunakan bahasa ibunda mereka.
"Adakah kita pula tidak mampu untuk menjadi maju hanya kerana menggunakan bahasa Melayu," katanya ketika membahas ucapan dasar Ketua Wanita Umno.
Halimah berkata, Wanita Johor mencadangkan supaya satu kajian dilakukan untuk mengetahui keberkesanan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik sejak ia diperkenalkan dan prestasi pelajar termasuk yang berada di luar bandar.
Katanya, jika terbukti prestasi pelajar semakin merosot terutama pelajar Melayu, beliau mahu penggunaan bahasa Inggeris dibatalkan.
Halimah bagaimanapun menekankan sokongan Wanita Johor terhadap segala dasar kerajaan, termasuk untuk memperkasakan bahasa Inggeris di kalangan rakyat terutama golongan muda.
"Dalam keadaan dunia tanpa sempadan, Bahasa Inggeris amat penting untuk menguasai ilmu. Tetapi, pada masa sama perlu diingatkan bahawa bahasa adalah jiwa bangsa, Bahasa Malaysia adalah bahasa kita, jiwa kita," katanya.
Selain itu, Halimah turut mengingatkan perwakilan supaya berhati-hati terhadap mereka yang mempunyai perasaan hasad dan dengki sehingga mengganggu gugat kestabilan parti.
Beliau berkata, ada yang mengingatkannya bahawa dalam politik, jangan mempercayai sesiapa kerana ia boleh menikam diri sendiri.
"Air yang tenang jangan disangka tiada buaya... memang air yang tenang inilah banyak mak-mak dan bapak-bapak buaya. Malah dalam cawan pun ada buaya," katanya.
Beliau berkata, Wanita Johor menyedari ada pihak yang cuba memecah belahkan Wanita Umno dan perkara ini perlu diawasi.
"Nasihat kita jangan baling batu sembunyi tangan... kalau wanita mengamuk buruk padahnya," katanya.
Halimah juga menegaskan Wanita Umno sentiasa setia dan amanah kepada parti dan tidak perlu mana-mana pihak mempertikaikannya.
"Satu ketika dulu, makcik-makcik inilah, yang terhenjut-henjut menebal muka ke sana ke mari ketika orang membenci umno. Apabila parti sudah kuat dah stabil, kita pulu hendak dilupakan.
"Wanita ingin mengingatkan supaya jangan bermain dengan api kerana bukan saja kita akan terbakar tetapi juga parti," katanya.
Halimah juga mengingatkan semua pihak tidak menyalahgunakan kebebasan yang menjadi amalan sekarang sehingga melakukan pelbagai pembohongan.
Beliau berkata, media juga perlu melakukan tanggungjawab mereka dengan ikhlas dan jangan bertindak seperti 'api dalam sekam' terhadap kerajaan.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment