Wednesday, November 07, 2007

Pilihan raya Pakistan masih belum pasti

ISLAMABAD, 6 Nov. – Di sebalik tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) dan janji manis kerajaan, Presiden Pakistan Jeneral Pervez Musharraf mungkin tidak akan mengadakan pilihan raya hinggalah beliau mengukuhkan pegangan kuasanya, menurut para penganalisis.

Kerajaan, setakat ini memberikan isyarat yang berbeza-beza sejak Pervez mengumumkan darurat dan mengantung perlembagaan pada Sabtu lalu sehingga mencetuskan bantahan sejagat dan juga seruan agar demokrasi segera dipulihkan.

Lapan tahun selepas beliau berkuasa melalui satu rampasan kuasa tentera tanpa melibatkan pertumpahan darah, Pervez menyatakan keganasan puak militan Islam dan campur tangan badan kehakiman negara itu sebagai punca utama pengisytiharan darurat.

Tetapi tindakan Pervez itu telah menyebabkan keadaan politik di negara yang mempunyai kuasa nuklear itu berada dalam keadaan kacau bilau, terutamanya rancangan mengadakan pilihan raya umum pada Januari depan dan janji beliau untuk melepaskan jawatan sebagai pemimpin tentera.

“Sebelum mengadakan pilihan raya, Pervez akan memastikan kedudukannya terjamin,’’ kata seorang penganalisis Hasan Askari yang merupakan bekas ketua jabatan sains politik di Universiti Punjab kepada AFP.

“Beliau memerlukan dua perkara sebagai jaminan, pertama menjadi Presiden bagi lima tahun lagi, kedua beliau akan terus menjadi ketua tentera selama mana yang beliau inginkan.

“Selagi jaminan ini tidak diperoleh, beliau dijangka tidak akan mengadakan pilihan raya atau kembali kepada pemerintahan berperlembagaan,” kata Askari.

Ketika para peguam membantah di beberapa buah bandar Isnin lalu, Pervez mengulangi jaminannya kepada para diplomat asing bahawa beliau akan mengadakan pilihan raya ‘‘seboleh mungkin mengikut jadual’’ di sebalik pengisytiharan darurat, kata jurucakapnya.

Dilaksanakan

Berbeza dengan Pervez, Perdana Menteri, Shaukat Aziz pula lebih jelas tentang tempoh masa pilihan raya yang akan dilaksanakan mengikut jadual dan menurut peguam negara, Parlimen akan dibubarkan pada 15 November dan pilihan raya akan diadakan sebelum pertengahan Januari.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan, Tariq Azeem pula memberitahu AFP hari ini, tiada sebarang keputusan dibuat lagi tentang bila pilihan raya itu akan diadakan.

Sebelum pengisytiharan darurat, masa depan Pervez diragui kerana kedudukannya tertakluk kepada keputusan Mahkamah Agung tentang kesahihan pelantikan semula dirinya untuk tempoh lima tahun lagi dalam pemilihan yang dibuat 6 Oktober lalu.

Beliau telah berjanji untuk melepaskan jawatan ketua tentera menjelang 15 November ini sekiranya memenangi pilihan raya, tetapi Tariq Azeem berkata, komitmen itu kini berada di awang-awangan.

Presiden AS, George Bush yang merupakan penyokong kuat Pervez turut meminta Pervez menamatkan darurat, meletakan jawatan sebagai ketua tentera dan mengembalikan semula pemerintahan demokrasi.

Para penganalisis bersetuju bahawa dasar yang terbaik untuk dilaksanakan oleh Pervez adalah menamatkan darurat secepat mungkin.

“Pilihan terbaik adalah melangkah kebelakang dan menarik balik tindakan yang diambil pada 3 November (Sabtu lalu),’’ kata kolumnis dan penganalisis Nasim Zehra.

“Sekiranya alasan darurat adalah untuk memerangi keganasan dan ekstremisme, beliau tidak akan berjaya menghapuskannya.

‘‘Berpatah balik dan mengekalkan hak asasi, membenarkan kebebasan kehakiman dan media serta mengembalikan fungsi parti politik, hanya itu saja pilihan yang ada,” kata Nasim.

Tetapi Pervez, yang juga bekas komando tentera, sangat jarang mengubah pendapatnya berdasarkan pandangan pihak lain bersandarkan perlakuannya sebelum ini.

Seorang pakar politik di Universiti Lahore, Unic Rasul Baksh Rais, berkata: “Berdasarkan kepada bantahan (Isnin lalu) di setiap bandar utama, saya fikir pilihan yang ada baginya adalah mengubah tindakannya, jika tidak beliau akan berdepan dengan masalah.’’ Beliau bagaimanapun turut mengingatkan perkara itu tidak akan berlaku.

“Pervez mungkin menimbang mengadakan pilihan raya tidak lama lagi tetapi keadaan yang wujud selepas darurat tidak akan menjamin ia dapat dilaksanakan dengan aman.

“Pervez akan tetap berusaha meneruskan kelangsungan hidupnya dengan kuasa yang dimiliki, tanpa mengira kos yang ditanggung,’’ kata beliau lagi.

– AFP

No comments: