PERLU BERSATU: Sebahagian wakil Pemuda mengaminkan bacaan doa sebelum Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyampaikan ucapan dasar Pergerakan Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno, di PWTC semalam. |
Agenda pembangunan Melayu jadi teras utama pergerakan
KUALA LUMPUR: Barisan kepemimpinan Pemuda Umno mahu pemimpin dan ahli peringkat akar umbi segera menyahut seruan dan peringatan Ketua Pergerakan itu yang mahu ahli kembali kepada asas perjuangan dan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada parti.
Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, berkata peringatan yang disampaikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein jelas menunjukkan kepemimpinannya dalam pergerakan itu bukan bersikap hipokrit.
Katanya, peringatan Hishamuddin juga menunjukkan kekayaan, kuasa dan kemasyhuran yang datang dengan jawatan politik itu tidak seharusnya mengubah prinsip dan menukar nilai asas perjuangan Pemuda.
"Menerusi tayangan video tadi, kita dapat lihat parti, terutama pergerakan Pemuda satu masa dulu hampir runtuh akibat tidak ada pegangan kukuh kepada nilai asas perjuangan parti. Sebab itu, adalah penting prinsip asas perjuangan parti kita fahami dan pegang," katanya.
Exco Biro Hubungan Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Datuk Mukhriz Mahathir, berkata adalah penting bagi pemimpin dan ahli merujuk semula asas perjuangan parti.
"Mungkin sebelum ini ada (pemimpin dan ahli) yang terlepas pandang dan Ketua Pergerakan Pemuda mengingatkan semula kepada perjuangan asal parti dengan agenda pembangunan Melayu menjadi teras utama.
"Beliau (Hishammuddin) juga mahu Pemuda melihat perspektif lebih luas tetapi hendaklah mengantarabangsa dan mengangkasakan bangsa," katanya.
Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria, berkata pemimpin dan ahli Pemuda perlu mementingkan isu kesetiaan pada parti melebihi kepentingan peribadi.
Katanya, mereka tiada alasan lain kecuali terus mengangkat, memartabat dan mempertahankan institusi parti serta memperjuangkan agenda pembangunan Melayu dalam semua sektor.
Sementara itu, Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata biro itu akan menjadi penyambung kesinambungan perjuangan yang diasaskan kepemimpinan Pemuda.
Katanya, apapun ia akan bertunjang dan berpaksi kepada agama dan ketuanan Melayu dan sebagai pelapis, mereka akan meneruskan perjuangan yang dicurahkan oleh generasi terdahulu yang mengangkat martabat Umno.
"Putera akan memainkan peranan utama untuk mengangkat dan mengekalkan martabat agama dan bangsa di bawah naungan parti keramat ini. Penekanan Putera sekarang ialah skim peluang kedua yang mana rata-rata anak muda yang tercicir di bangku sekolah akan diberi kemahiran.
"Kita akan menyerap seramai mungkin ahli Putera berumur 18 tahun hingga 25 tahun di luar bandar dan di kawasan pertanian untuk sama-sama turut serta dalam arus pembangunan," katanya.
No comments:
Post a Comment