KUALA LUMPUR 6 Nov. – Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan lebih banyak pemimpin sayap UMNO itu diberi peluang untuk dicalonkan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pada masa ini cuma ada dua wakil rakyat daripada Puteri UMNO dan bilangan itu perlu ditambah bagi memastikan keseimbangan jantina antara lelaki dan wanita.
‘‘Pada waktu ini, hanya terdapat 36 orang wakil rakyat wanita dan hanya dua daripadanya mewakili sayap Puteri UMNO. Puteri perlu diberi lebih banyak peluang pada masa depan,” katanya.
Shahaniza berkata demikian ketika berucap membahaskan usul menyokong ucapan dasar Ketua Puteri UMNO.
Shahaniza yakin pemimpin Puteri mampu memainkan peranan sewajarnya jika diberi peluang.
Katanya, UMNO sama sekali bukan sebuah parti yang mengamalkan diskriminasi jantina sebaliknya mementingkan kebolehan seseorang.
Menurutnya, kepimpinan Puteri UMNO itu telah terbukti terutama dalam meningkatkan keahlian sehingga mencecah lebih 400,000 orang serta memainkan peranan yang besar dalam jentera pilihan raya parti.
No comments:
Post a Comment