Wednesday, November 07, 2007

Lagi kes rasuah babitkan pemimpin Umno di Melaka

Zaili Muhammad
Wed | Nov 07, 07 | 11:49:28 am MYT

MELAKA, 7 Nov (Hrkh) - Rakyat pelik, di sebalik retorik ucapan Islam Hadhari, perjuangan Agenda Melayu berdegar-degar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semakin banyak kes rasuah membabitkan pemimpin Umno didedahkan.

Hari ini Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka (DPPNM) mengesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dengan segera tuduhan rasuah yang melibatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Dato, Abdul Aziz Abdul Ghani dan seorang pemaju bagi permohonan mendapatkan tanah seluas 30.71 ekar di Mukim Merlimau, Jasin, untuk projek perumahan.

Dalam laporan polis yang dibuat oleh pemaju Asas Fleksi Sdn Bhd, Lui Tong Lam, pada 30 Oktober lalu, beliau mendakwa 'menyumbang' RM130,000 termasuk RM50,000 untuk tabung politik Umno bahagian Jasin dan RM80,000 untuk Umno Melaka pada Mac 2003 berhubung permohonan tanah di atas.

Menurut Ketua DPPNM, Ustaz Kamaruddin Sidek, bahawa kita menuntut BPR menyiasat dengan segera berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pemaju tersebut kerana ianya berunsurkan rasuah.

"Kita juga minta Umno bahagian Jasin dan Umno Melaka bangun menjelaskan perkara sebenar bagi melindungi maruah mereka berkenaan tuduhan tersebut samada ianya benar atau tidak mereka menerima wang itu.

"Sedangkan cubaan memberi rasuah kepada Tuan Guru Nik Aziz BPR dengan segera boleh siasat kenapa kes yang melibatkan bekas Adun dan Umno Melaka ini tidak diambil tindakan sewajarnya," kata beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa kepimpinan Umno semua peringkat di bawah Ali Rustam bermasalah dan kita harap bekas Adun ini boleh bekerjasama dengan BPR sebagaimana yang dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan itu.

DPPNM bercadang akan membuat laporan kepada BPR dalam masa terdekat bagi melaksanakan tanggungjawab sosial untuk membanteras rasuah hingga ke akar umbi seperti yang selalu diwar-warkan oleh PM.

Sebelum ini, Lui mendakwa Abdul Aziz berjanji boleh membantu mendapatkan kelulusan Majlis Daerah Jasin (MDJ) dengan syarat membuat sumbangan tersebut dan tidak lama kemudian, MDJ meluluskan permohonan tersebut.

Beliau membuat laporan tersebut kerana merasakan dirinya telah ditipu dan tidak mahu ada pihak yang menuduh syarikatnya terlibat dengan rasuah.

Abdul Aziz pula mengaku menerima wang sumbangan Lui bagi pihak Umno dan dibelanjakan oleh Umno bahagian untuk pelbagai keperluan, termasuk mengadakan mesyuarat dan bantuan kepada penduduk kampung. - mr

No comments: