DAPAT SOKONGAN: Noraini dijulang barisan Exconya selepas penangguhan persidangan, semalam. |
PUTERI Umno mencadangkan wanita muda berusia bawah 35 tahun ditawarkan secara automatik menganggotai sayap itu yang sehingga awal bulan ini mempunyai 408,825 ahli di seluruh negara.
Ketuanya, Datuk noraini Ahmad, berkata cadangan itu bertujuan memudahkan pendaftaran keahlian baru selain meningkatkan jumlah wanita muda dalam Umno.
"Setidak-tidaknya, parti akan memiliki lebih ramai pelapis serta barisan yang mampu meneruskan matlamat perjuangan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada persidangan pergerakan itu.
Noraini berkata, sayap itu juga bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-12 berbekalkan konsistensi dan keupayaan anggota yang bekerja kuat.
"Tugas utama terhadap hal berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) akan terus menjadi tanggungjawab kita dalam menggempur medan pilihan raya.
"Kita juga tidak akan berputus asa meraih sokongan pengundi sekalipun terpaksa memanjat rumah pangsa di bandar raya, berjalan di taman perumahan dan menyusur kesibukan kota.
Noraini berkata, Puteri sudah mengerahkan seluruh jenteranya di semua peringkat memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di semua kawasan dengan majoriti lebih tinggi berbanding pilihan raya umum lalu.
"Kepada semua ahli Puteri pula, marilah sama-sama kita melipatgandakan usaha yang sedia ada untuk terus memenangi hati pengundi. Insya Allah Kelantan pun akan kita tawan dalam pilihan raya yang akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment