ISLAMABAD 6 Nov. – Polis Pakistan meneruskan tindakannya menangkap dan membelasah para peguam yang mengadakan bantahan terhadap perintah darurat Presiden Jeneral Pervez Musharraf untuk hari kedua.
Ketika berlangsungnya bantahan itu, para pegawai kerajaan yang tertekan dengan kritikan Amerika Syarikat (AS) berjanji mengadakan pilihan raya pada awal 2008.
Ahli-ahli politik pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto telah menyatakan kritikan masing-masing tetapi setakat ini tentangan lebih tertumpu kepada para peguam.
Pada waktu yang sama, anggota tentera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dengan melakukan sekatan jalan raya dan mengepung kawasan dengan kawat berduri di sekitar istana Presiden, Parlimen dan bangunan Mahkamah Tinggi, sementara polis berusaha menghalang kemaraan peguam daripada memasuki Mahkamah Tinggi di Karachi.
Di bandar Multan berpuluh-puluh peguam mengadakan bantahan dengan membaling batu ke arah polis dan melaungkan kata-kata, “Berambus, Musharraf berambus”.
Polis kemudian membalas dengan membelasah para peguam terbabit menggunakan belantan dan mengheret mereka masuk ke dalam trak.
Selain itu berpuluh-puluh lagi peguam ditahan di premis Mahkamah Tinggi di Lahore, selain bantahan aman sekumpulan 200 peguam di Islamabad.
Pervez yang berkuasa sejak 1999 selepas melakukan rampasan kuasa telah menahan beratus-ratus peguam dan ahli politik pembangkang sejak hari Sabtu.
Selepas memecat beberapa hakim termasuk Ketua Hakim Mahkamah Agung, Iftikhar Muhammad Chaudhry, Pervez telah melantik beberapa hakim bagi mengisi kekosongan dengan melantik peguam yang boleh dikawal.
Bagaimanapun hanya empat orang yang mengangkat sumpah hari ini, menjadikan jumlahnya sembilan orang iaitu masih kurang daripada angka sebenar, 17 orang.
Bagaimanapun perisytiharan perintah darurat itu mencetuskan kebimbangan sama ada pilihan raya yang dijadual pada Januari depan dapat diteruskan mengikut perancangan.
Bagaimanapun Peguam Negara, Malik Abdul Qayyum memberitahu, tidak ada penangguhan, Parlimen dan dewan wilayah akan dibubarkan menjelang 15 November ini bagi membolehkan pilihan raya diadakan.
Setakat ini tidak ada tanda menunjukkan Pervez akan menarik balik perintah darurat yang dibuat dengan alasan untuk menentang gerakan militan dan badan kehakiman.
Namun Pervez hari ini menyatakan bahawa beliau merancang untuk meletakkan jawatan dalam tentera.
“Saya bersungguh mahu menjayakan tahap ketiga peralihan ke arah demokrasi dan akan meletakkan jawatan apabila selesai membetulkan masalah dalam kehakiman, eksekutif dan Parlimen,” katanya.
Sementara itu, bursa saham Pakistan yang jatuh 4.6 peratus semalam berikutan perintah darurat merosot 0.7 peratus lagi pagi ini.
– Reuters
No comments:
Post a Comment