KETUA Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz menyarankan generasi muda supaya mengubah semantik dan ungkapan seperti 'mewarisi kuasa', 'pelapis kepemimpinan' serta 'ambil alih jawatan' kepada 'mewarisi dan mengambil alih kerja serta tanggungjawab' dan mengambil alih 'beban perjuangan'.
Saranan itu dibuat kerana jumlah jawatan terhad dan tidak semua orang boleh memegang kuasa, sedangkan kerja, tanggungjawab serta beban perjuangan tiada hadnya.
"Justeru, menjelang pilihan raya umum ini, kita tidak perlu bertanya bila akan diadakan pilihan raya umum kerana ia pasti akan diadakan dan pada masa sama, kita tidak seharusnya melobi untuk menjadi calon.
"Kita serahkan kepada kepemimpinan parti untuk menentukan calon kerana individu tidak penting. Kalau dah rezeki kita tak payah nak lobi, kita akan dijemput untuk menjadi calon.
"Jangan sampai kita jadi bekas bakal calon. Bila dapat jadi calon rasa seronok, jadi bakal calon masih ada harapan tetapi kalau jadi bekas calon, boleh pengsan," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan perwakilan pergerakan itu.
Rafidah juga mengarahkan supaya persiapan jentera wanita untuk pilihan raya umum akan datang diperhebatkan.
Setiap bahagian, katanya, mesti menyiapkan liputan bancian pengundi sebelum akhir tahun supaya dapat dianalisis segala maklumat dan disampaikan kepada pucuk pimpinan.
"Apa yang penting ialah kita bersiap sedia dan jangan ada usaha yang tertinggal atau tidak dilaksanakan. Banyak masa diberi untuk bersiap sedia dan kita perlu sentiasa pada tahap 'gear penuh'.
"Motivasi asas kita bekerja ialah untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus memenangi dengan besar pada pilihan raya umum supaya dapat meneruskan Agenda Nasional dan Agenda Melayu," katanya.
Rafidah juga mahu wanita terus diberi laluan atau akses untuk memperoleh apa juga pengetahuan pendidikan, latihan dan kemahiran yang wajar, sebagai modal insan.
Beliau berkata, rakyat tidak perlu dan tidak wajar bimbang apabila lebih ramai wanita daripada lelaki yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi dan lulus cemerlang kerana negara tidak mampu untuk mendiskriminasi kepandaian serta kebolehan.
"Bukan salah wanita kalau lebih ramai pelajar lelaki yang tercicir atau yang kurang upaya. Kadang-kadang saya hairan ada yang komen ramai sangat wanita pandai. Perlembagaan sudah dipinda dan tidak boleh didiskriminasi berasaskan gender atau jantina," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment