Wednesday, November 07, 2007

Guru kumpulan A wajar dibenar berpolitik

WAKIL Pulau Pinang, Mohd Zaidi Said mencadangkan guru kumpulan A dibenarkan memegang jawatan dalam parti politik supaya sumbangan golongan berkenaan tidak terus luput, terutama dalam Umno.

Katanya, Pemuda Umno memberi kuasa penuh kepada Menteri Pelajaran untuk membenarkan kakitangan kumpulan A memegang jawatan dalam parti.

"Kalau guru bertanding, adakah beliau akan mengerah murid untuk membantu kempennya... saya ingat ini tidak berlaku," katanya ketika membahas usul terima kasih ucapan dasar Ketua Pemuda.


Mohd Zaidi yang juga Ketua Pemuda Permatang Pauh, berkata langkah membenarkan guru kumpulan A terbabit dalam kepemimpinan parti kerana khidmat mereka sangat diperlukan dalam usaha memperkasakan sekolah kebangsaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan di peringkat daerah bagi memastikan kualiti pendidikan menjadi landasan dan teras memajukan bangsa Melayu pada masa akan datang.

Katanya, penubuhan majlis tindakan pendidikan daerah itu kena pada masanya kerana majlis daerah ketika ini jarang memberi tumpuan terhadap aspek berkenaan.

Katanya, ahli majlis tindakan pendidikan itu boleh disertai pegawai daerah, pegawai pelajaran, pengetua dan guru besar, ketua polis daerah serta pegawai belia dan sukan.

Beliau berkata, usaha memperkasakan sekolah kebangsaan mesti menjadi fokus perbincangan majlis itu dan membuat keputusan segera supaya pendidikan dalam daerah berada di landasan betul.

"Kita selalu leka dengan rentak dan irama media mengolah cerita seloka atau kita tersungkur rebah setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan," katanya.

Katanya, masalah disiplin di kalangan pelajar yang sering diperkatakan, mesti ditangani segera dan peranan itu boleh dilaksanakan oleh majlis berkenaan.

No comments: