Wednesday, November 07, 2007

Bersih bertanggungjawab mohon permit, polis bertanggungjawab beri permit!

Mohamed Hanipa Maidin
Wed | Nov 07, 07 | 1:41:25 pm MYT

Harakahdaily melaporkan bahawa polis telah menolak permohonan permit perhimpunan di Dataran Merdeka kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Zul Hasnan Najib Baharuddin berkata, tindakan itu diambil bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

"Kita tidak akan mengeluarkan permit kepada mereka (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan seperti yang dirancang. "Jika mereka ingkar, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,"katanya yang dipetik daripada laporan akhbar.

Pihak polis tidak seharusnya menolak permohonan permit yang dipohon oleh Bersih hanya berdasarkan spekulasi.

Polis perlu memahami bahawa hak rakyat berhimpun secara aman dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi di negara ini. Hak tersebut mesti dihormati oleh pihak polis.

Kes-kes Mahkamah dan Laporan Suhakam telah mengesahkan hak tersebut harus dihormati dan dlindungi. Polis jangan jadi golongan yang buta dan pekak yang sengaja tidak mahu peduli laporan-laporan dan kepurtusan-keputusan Mahkamah tersebut.

Polis perlu memahami bahawa kuasa mereka di bawah seksyen 27 Akta Polis 1967 tidak mutlak. Seksyen 27 digubal bagi tujuan memastikan sebarang perhimpunan di tempat awam dikawal selia oleh polis bukan dinafikan terus.

Alasan bahawa perhimpunan yang belum berlaku pada 10 Nov ini akan mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam adalah bersifat spekulatif dan polis tidak wajar bertindak sebagai Pak Nujum dalam perkara ini.

Rakyat menghormati polis yang profesional bukan polis yang bertindak seperti Nujum Pak Belalang. v Berasas anggapan Ketua Polis Daerah Dang Wangi (OCPD) dalam kes ini menolak permohonan permit yang dipohon oleh Bersih maka Bersih diberi hak di bawah Akta Polis 1967 untuk merayu kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Zul Hasnan Najib Baharuddin di atas keputusan OCPD tersebut.

Oleh yang demikian Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Zul Hasnan Najib Baharuddin tidak seharusnya membuat apa-apa kenyataan jauh sekali amaran kerana beliau seharusnya menilai rayuan Bersih tanpa sebarang unsur prejudis dan sikap berat sebelah.

Persoalannya dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang beliau telah keluarkan bagaimanakah beliau boleh bertindak secara rasional, objektif dan tidak memihak dalam meneliti dan memproses rayuan Bersih tersebut.

Untuk rakyat teruskan berhimpun dengan aman jangan takut dengan gertakan polis atau mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab kerana kita tidak berhajat melawan sesiapa pada hari tersebut dan buktikan bahawa kita adalah rakyat yang cintakan kedamaian dan keamanan meskipun berhimpun 100,000 di jalan raya.

KENYATAAN RASMI
MOHAMED HANIPA BIN MAIDIN
PENGERUSI LAJNAH GUAMAN DAN UNDANG-UNDANG PAS PUSAT

No comments: