KUALA LUMPUR: Kelangsungan Umno sebagai parti paling berjaya dalam pemerintahan demokrasi berparlimen disebabkan parti terbesar dalam komponen Barisan Nasional itu tidak bergantung kepada satu generasi saja, kata Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Umno tidak akan berjaya sekiranya hanya bergantung kepada generasi yang terdahulu atau generasi pertama yang menubuhkan Umno.
Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Presiden Umno menegaskan, sumbangan generasi yang berjuang menentang Malayan Union bersama generasi yang mencapai dan mengisi kemerdekaan menjadikan Umno berjaya seperti sekarang.
"Mungkin nasib sama tidak dapat dirasai parti politik lain yang hanya mampu bertahan dalam waktu tertentu saja," katanya katanya menutup Kursus Kepemimpinan Kelab Umno Luar Negara bertema Malaysiaku Gemilang: Hala Tuju Sepanjang 50 Tahun Akan Datang, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Seramai 160 peserta menghadiri kursus dua hari itu, termasuk 66 kelab daripada keseluruhan 68 kelab Umno di luar negara.
Najib berkata, kejayaan Umno kini juga hasil transformasi parti daripada satu generasi ke generasi lain supaya parti keramat itu sentiasa relevan mengikut zaman.
"Kelangsungan sokongan kepada parti ini dalam sistem demokrasi berparlimen tidak terbatas... banyak bergantung kepada transformasi di semua tempat tidak kira di bandar atau desa," katanya.
Beliau berkata, Umno boleh merentasi generasi kerana mempunyai rekod yang baik dan perkara itu tidak dapat dilakukan parti pembangkang.
Katanya, usaha berterusan Umno melakukan proses 'merekayasa' (reengineering), termasuk menubuhkan lebih banyak kelab Umno di luar negara, selain mewujudkan sayap parti lain seperti Puteri dan Putera menyebabkan Umno terus relevan.
�Justeru, kita tidak boleh duduk diam saja dan pertahankan status-quo kita. Generasi muda jangan memandang ke dalam dalam lingkungan terbatas, tetapi perlu memandang ke dunia luar.
"Pemimpin Kelab Umno juga diingatkan tidak mengadakan program antara anggota saja dan jangan cepat berpuas hati jadi pengerusi kelab tanpa bertanding," katanya.
Dalam ucapannya itu, Najib mengingatkan penuntut yang menyertai kelab Umno tidak mengabaikan pelajaran yang menjadi tanggungjawab hakiki mereka, malah perlu memberi contoh kepada pelajar lain dalam bidang akademik.
"Kita tak mahu pelajar mengulang kerana tidak lulus. Kita kena jadi model kepada orang lain dan kalau tak boleh jadi ikon sekalipun jadilah pelajar yang berjaya supaya boleh menjadi tarikan pelajar menyertai kelab," katanya.
Najib juga menegaskan agar setiap anggota Umno, termasuk kelab Umno perlu berubah dengan tidak menggunakan parti sebagai batu loncatan untuk mencari kejayaan tertentu atau mempunyai 'udang di sebalik batu'.
"Bila masuk Umno, tanya apa yang boleh diberi dan dibawa kepada parti dan bukannya apa yang diperoleh daripada Umno. Kalau minda ini dapat diubah, parti akan menjadi kuat sepanjang masa dan jika sebaliknya, nilai yang ada pada diri akan merosot malah tamadun juga boleh hancur akibatnya," katanya.
Menjawab soalan peserta, Najib berkata, sistem anak angkat antara Kelab Umno dan Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sukar dilaksanakan kerana membabitkan kos tinggi.
"Ahli Parlimen dan Adun kita nak mereka jaga kawasan masing-masing. Apa yang penting, kita mesti menang pilihan raya," katanya.
Mengenai laman blog yang banyak menghentam pemimpin Umno, beliau berkata, Umno sendiri mempunyai laman web sendiri iaitu Umno-online dan blogger yang menyokong Umno.
"Blog yang tidak menyokong kita selalunya menyiarkan perkara separa benar. Mungkin faktanya benar, tapi sudah dipusing untuk mengelirukan," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment