Mon | Nov 05, 07 | 10:56:43 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Hrkh) - Sempena Perhimpunan Rakyat pada 10 November ini, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan seluruh penyokong Pro-Mahasiswa akan turut serta sebagai satu tindakan sivil dan tanggungjawab sosial untuk membawa suara rakyat menuntut pemulihan demokrasi secara telus dan adil.
Menurut jurucakapnya, Meor Affandi Meor Azizan, Gamis melihat perhimpunan ini sebagai salah satu agenda penting untuk menyeru rakyat membuat perubahan dalam sistem politik dan bentuk pentadbiran kerajaan.
"Di samping itu, Gamis juga menolak dan 'membakul sampahkan' pemimpin yang hanya mementingkan nasib keperluan diri dan keluarga semata-mata sehingga mengabaikan amanah untuk menjaga kebajikan dan memimpin rakyat ke arah kesejahteraan dan keadilan seluruh rakyat," demikian petikan kenyataan akhbar yang dihantar kepada Harakahdaily.
Sementara itu, Gamis turut menyatakan pendapat mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bahawa sekatan Auku akhirnya akan melahirkan produk mahasiswa yang tidak demokrat dan apatetik terhadap kepentingan rakyat, agama dan negara.
"Auku yang digubal dan dipinda sebenarnya bukan bertujuan untuk mengurus tadbir universiti dan disiplin mahasiswa dengan lebih sistematik dan efisyen. Bahkan, ia merupakan satu modal dan motif politik kotor yang dijadikan senjata kerajaan untuk melumpuhkan dan melenyapkan salah satu kumpulan pendesak golongan rakyat iaitu mahasiswa lantaran kebangkitan dan kesedaran mahasiswa yang pada satu ketika dulu menjadi satu bayangan paranoid kepada pemerintah," tambahnya.
Untuk itu, Gamis dengan penuh rasa keinsafan dan rendah diri akan memimpin Pro Mahasiswa untuk bersama-sama menuntut perubahan demi memartabatkan agama, menjamin hak-hak rakyat tanpa mengira bangsa dan menjaga kedaulatan negara.
"Auku mesti dirempuh!" tegas Meor.
Tambahnya, setelah bergelumang dengan ketempangan dan penguburan demokrasi kampus sama ada kebebasan mahasiswa mahupun sendi Pilihan Raya Kampus, kini Pro-Mahasiswa merasakan ia satu kewajipan untuk menyahut cetusan momentum bagi menuntut pemulihan demokrasi secara berakar umbi di kampus dan seterusnya di Malaysia.
Menurutnya, ini kerana Pilihan Raya Kampus (PRK) 2007 telah menggambarkan satu model demokrasi yang buruk dan semakin parah dalam keadaan pihak kerajaan dan universiti bersetuju untuk mengadakan PRK setiap tahun sebagai simbolik demokrasi.
"Namun ia tidak ubah daripada sekadar menjadi barang dagangan lapuk yang tidak mempunyai nilai intelektual dan komersial," tambahnya lagi.
"Bagaimana boleh wujud sistem pengundian elektronik (e-voting) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia? Sistem pengundian elektronik tidak dapat dibuktikan ketelusannya. Bagaimana mahasiswa ingin memastikan bahawa tidak akan berlaku sebarang penyelewengan ketika proses pengundian dan perkiraan undi dijalankan? Sedangkan paling tidak pun Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (SPR) Malaysia menggunakan peti undi lutsinar untuk membuktikan pengundian secara telus, inikan pula pengundian yang dibuat secara maya," hurai beliau menceritakan insiden yang dirakamkan dalam PRK yang lalu.
Jelasnya lagi, demokrasi PRK juga terus dicemari dengan insiden pengundi hantu di Kolej Kediaman ke-12, Universiti Malaya sehingga menyebabkan pengundian semula terpaksa dijalankan semula dibuat beberapa hari selepas hari pengundian yang berlangsung serentak di seluruh IPT pada 2 Oktober.
"Ini diikuti dengan situasi di UIAM yang mengadakan proses penapisan ketat calon-calon yang mahu bertanding dengan mewujudkan proses 'public speaking', sesi temuduga bersama dekan fakulti serta perlu menghadiri taklimat khas bersama Rektor dan Presiden UIAM sebagai salah satu syarat yang wajib diikuti. Namun, perkara yang tidak dapat difikirkan ialah apabila penamaan calon diadakan semula dengan alasan yang tidak munasabah setelah pro-mahasiswa dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk menang mudah pada sesi penamaan calon kali pertama. Semuanya ini hanyalah secebis bukti kebobrokan demokrasi di kampus,"ulas Meor.
Walau apapun katanya, Gamis tetap meyakini bahawa demokrasi di tanah air ini dapat dikembalikan dan dimurnikan berdasarkan prinsip-prinsip serta nilai-nilai sebenar demokrasi.
"Intipati demokrasi yang menjamin hak-hak rakyat juga adalah sebahagian daripada pengolahan ilmu-ilmu Islam dan kemanusiaan," katanya.
Menurutnya, berdasarkan teori ini, Gamis akan terus komited untuk mengembalikan keadilan dan menentang sebarang bentuk ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku. - mks.
No comments:
Post a Comment