Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin
PERLU RAPI: Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Abdul Fattah Abdullah membetulkan kain samping seorang anggota perbarisan Pemuda pada majlis raptai di hadapan PWTC di Kuala Lumpur, semalam. |
PWTC siap sedia terima kehadiran perwakilan, pemerhati dari seluruh negara
KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), lokasi Perhimpunan Agung Umno 2007 sudah bersedia sepenuhnya bagi menerima kehadiran perwakilan, pemerhati serta jemputan dalam dan luar negara selepas kerja persiapan terakhir dilakukan semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Yaakob Mohammad, berkata 99 peratus persiapan selesai dibuat dan petang semalam petugas sekretariat sibuk memasukkan dokumen dalam beg untuk hampir 4,300 perwakilan yang akan mendaftar bermula hari ini.
"Semua persiapan lancar. Tadi pun (semalam) saya sudah membawa Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad meninjau persiapan dan beliau berpuas hati kerana semua berjalan mengikut perancangan.
"Pentas juga dipasang siap serta ditutup tirai. Oleh kerana ada beberapa majlis sebelum Presiden merasmikan perhimpunan, pentas utama hanya dibuka selepas perasmian majlis taklimat tertutup oleh Presiden esok (hari ini) selesai," katanya kepada Berita Harian semalam.
Sementara itu, tinjauan mendapati, bermula jam 3 petang, kira-kira 100 petugas sekretariat Umno sibuk menyiapkan beg berserta dokumen untuk perwakilan.
Peniaga di lot kedai yang menjual pelbagai barangan juga mula sibuk menyiapkan ruang niaga dengan produk jualan masing-masing termasuk gerai buku dan majalah, pakaian, aksesori wanita, makanan, produk kesihatan, tudung, songket, kasut dan perhiasan rumah.
SUPAYA CANTIK: Seorang pekerja membersihkan bingkai gambar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk persiapan terakhir Perhimpunan Agung Umno 2007 di PWTC. |
Bagaimanapun, suasana di bahagian lot kedai agak sunyi berikutan kemasukan peniaga dipecahkan kepada beberapa peringkat mengikut jadual ditetapkan bagi mengelak kesesakan kerana banyak acara dan seminar berlangsung sebelum perhimpunan.
Peniaga aksesori, Wahab Datu Indal dari Sabah berkata, beliau tidak pernah ketinggalan berniaga setiap kali Perhimpunan Agung Umno sejak 1996 kerana pulangan sangat lumayan dan beliau mampu mengembangkan perniagaan dengan mempromosikan produk di situ.
"Saya bangga kerana sejak mula berniaga di sini perniagaan makin berkembang. Saya sanggup turun dari Kota Kinabalu kerana tidak mahu terlepas peluang keemasan berniaga di sini. Daripada pengalaman lalu, saya mampu mengaut jualan RM30,000 hingga RM40,000," katanya.
Selain itu, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah bersedia dengan alat perhubungan telekomunikasi bagi memudahkan kawalan lalu lintas dan pemantauan di segenap sudut dalam dan luar bangunan berkenaan.
Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Umno, Datuk Paduka Husainay Hashim, berkata buat pertama kali Umno akan mengeluarkan kad keahlian kepada lebih 3.3 juta ahli Umno yang sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang perhimpunan itu.
"Setakat ini kita sudah keluarkan lebih 2.8 juta kad untuk ahli Umno di seluruh negara sejak September lalu. Pada perhimpunan kali ini, setiap ahli Umno baru atau yang baru mendaftar dengan SPR boleh mendapatkan kad keahlian di kaunter ICash berhampiran kaunter pendaftaran perwakilan.
"Apa yang menariknya selain mendapat kad keahlian percuma, ahli yang bertuah berpeluang menerima hadiah keseluruhan bernilai lebih RM5.2 juta termasuk sebuah banglo bernilai RM600,000, kereta Mercedes E-200, pakej umrah dan pelancongan serta pelbagai faedah lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebelum taklimat Presiden bermula, majlis simbolik membabitkan dua angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr Faiz Khaled menyerahkan bendera yang dibawa ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno.
No comments:
Post a Comment