Monday, November 05, 2007

Pengalaman isteri tahanan ISA: "Memang berdosa pun Abdullah ..."

Aliza Jaffar
Mon | Nov 05, 07 | 8:48:08 am MYT

Terpampang di muka depan akhbar Mingguan Malaysia sehari sebelum Perhimpunan Agung Umno 2007 satu kenyataan emosi Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, 'Berdosalah Saya'.

Kami mangsa penahanan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA mengesahkan bahawa Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi memang berdosa terhadap kami.

Melalui Gerakan Mansuhkan ISA kami telah pun mengingatkan beliau tentang 'berdosanya beliau' melalui surat kami yang dikirim pada 10 Oktober 2007 beberapa hari sebelum menjelangnya Aidilftri tahun ini.

Kami mengirimkan sebuah buku bertajuk 'ISA Ia Sah Aniaya' yang merupakan testimoni penahanan dan penyeksaan yang berlaku terhadap tahanan ISA. Cerita benar ditulis semula oleh Subky Abdul Latif diterbitkan oleh GMI pada Ogos 2006. Buku ini juga memuatkan lukisan-lukisan penderaan dan penyeksaan yang dahsyat yang dilukis sendiri oleh tahanan ISA yang penahanan mereka ditandatangani oleh Abdullah.

Tandatangan beliaulah yang menjadikan seseorang tahanan ISA terus ditahan tanpa bicara di Kem Kamunting bertahun-tahun, dipisahkan dari isteri dan anak-anak, keluarga dan sahabat handai dan kebebasan mereka sebagai manusia dicabul sewenang-wenangnya. Apakah Perdana Menteri sedar implikasi tandatangan beliau itu?

Surat kami berbunyi:

_______________________________________________________

Kepada

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia

Assalamualaikum wrt wbt

Buku ISA 'Ia Sah Aniaya'

"Gerakan Mansuhkan ISA mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri 1428 H. Sempena Aidilfitri ingin kami mengingatkan Dato' Seri bahawa mengekalkan undang-undang ISA iaitu menahan seseorang tanpa bicara adalah berdosa dan mencabul hak asasi manusia.

"Allah berfirman: "Tidak ada jalan atas orang yang menzalimi manusia dan membuat kerosakan di bumi dengan tidak benar, kecuali bagi mereka azab yang pedih." (Asy-Syura: 42)

"SUHAKAM atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia pada tahun 2003 telah membuat kajian mengenai kezaliman ISA dan memutuskan agar kerajaan memansuhkan ISA.

"Untuk menegaskan lagi perjuangan menuntut ISA dimansuhkan, GMI mengirimkan buku 'Ia Sah Aniaya' terbitan GMI kepada Dato' Seri. Ia adalah testimoni kezaliman, penyeksaan dan penganiayaan yang berlaku di bawah ISA.

"Kami harap Dato' Seri membacanya dengan teliti dan seterusnya bertindak supaya kerajaan tidak terus membisu tentang tuntutan rakyat yang mahukan undang-undang zalim ini dihapuskan."

Di sebalik setiap penahanan ISA yang ditandatangani oleh Abdullah adalah penganiayaan terhadap isteri dan anak-anak kepada tahanan. Begitu banyak kisah sedih, pahit dan menggerunkan yang tidak diketahui umum.

Jika ada satu mahkamah yang boleh membicarakan 'dosa' yang ditanggung oleh Abdullah terhadap keluarga tahanan ISA, adakah hukuman yang setimpal dengan 'dosa' yang beliau lakukan dengan hanya menandatangani setiap penahanan ISA?

Untuk kali ini saya ingin menceritakan kisah sedih yang berlaku terhadap isteri tahanan ISA yang berlaku pada 14 Disember 2002. Saya tidak dapat menahan sedih mendengar kisah isteri tersebut apabila dia menceritakan kepada saya. Untuk tidak membebankan beliau lagi, saya hanya menggunakan nama samaran untuk wanita ini.

Masa suami Rosnah ditahan mereka sedang nyenyak tidur, maklumlah jam pukul 4.30 pagi. Pada ketika itu, mereka terdengar bunyi bising dari luar rumah dan membuatkan mereka terjaga dari tidur.

Rosnah sangka beliau bermimpi. Apabila dilihat di luar rumah rupanya antara empat atau lima buah kereta berada di sekeliling rumah mereka. Mereka terkejut akan kedatangan orang-orang yang tidak dikenali.

Rupa-rupanya SB datang ala-samseng, tidak memberi salam dan terus menggoncang pagar besi rumah mereka. Kuat dan ganasnya tindakan mereka sehingga mengejutkan semua jiran mereka yang berhampiran.

Suami Rosnah terus bangun dan turun membuka pintu. Rosnah tidak mengetahui apa-apa kerana beliau masih di tingkat atas rumah. SB mula menggeledah semua bilik dan semua barang dalam setor diselongkar. Tapi tiada satu pun barang yang diambil.

Pukul 6 pagi azan subuh pun berkumandang dari masjid. SB pun terus menggari tangan suami Rosnah. Suami Rosnah meminta agar beliau dibenarkan solat subuh dahulu tetapi SB samseng tersebut tidak membenarkan dan terus membawanya pergi dengan mengambil empat buah buku bank suaminya, satu kepunyaan Rosnah dan dua telefon bimbit.

Begitulah adegan ganas SB menangkap seorang tahanan ISA.

Tinggallah Rosnah dalam keadaan trauma dan ketakutan bersama 4 orang anak berumur 10 tahun, 9 tahun, 6 tahun dan 5 tahun. Rosnah sedang mengandung 7 bulan. Rumah beliau ditinggalkan dalam keadaan amat berselerak seperti setelah dimasuki perompak. Barang-barang bertaburan di merata ruang rumah.

Suami dibawa entah ke mana. Setelah seminggu suami Rosnah diculik, Rosnah menghadapi tekanan yang tidak dapat dibayangkan. Beliau membuat pemeriksaan kandungan. Doktor mengesahkan bayi kandungan beliau telah meninggal dunia dalam rahim.

Rosnah terpaksa memandu kereta bersendirian ke hospital untuk melahirkan anak yang sudah tidak bernyawa. Sepanjang penahanan suaminya, beliau terpaksa menanggung penderitaan anak-anak sakit hingga dimasukkan ke hospital dan beliau pula mendapat penyakit ketumbuhan di dalam rahim, buah pinggang dan batu karang.

Rosnah terpaksa menanggung beban pengurusan perniagaan suaminya agar mereka terus dapat hidup walaupun ditinggalkan suami yang entah bila akan bebas.

Alangkah kejamnya ISA menganiaya insan yang tidak bersalah. Adakah Datin Seri Jeanne Abdullah sedar akan penganiayaan ini?

Adakah Jeanne Abdullah sedar 'berdosa' suami Jeannelah yang membawa kesengsaraan kepada ratusan malah ribuan mangsa tahanan ISA? - mks.

No comments: