Mon | Nov 05, 07 | 1:37:58 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) yang merupakan 'front' gerakan mahasiswa, menuntut agar dalam PRU kali ini mahasiswa tidak dijadikan 'alat' kepada parti-parti politik tertentu.
Sebagai contoh katanya, mahasiswa diperalatkan dengan memberi wang sogokan untuk mengundi atau dijadikan sebagai alat berkempen bagi sesetengah pihak.
"Di manakah kebebasan yang sepatutnya dimiliki oleh mahasiswa dalam menjalankan pilihan raya secara telus dan adil? Mahasiswa sepatutnya diberi kebebasan untuk berpegang dengan pendirian mereka sendiri dan bukan semata-mata menurut telunjuk sesebuah parti," ujar Presidennya Mohd Dzulkhairi Mohd Noor, dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily.
Dalam hal ini, beliau mengingatkan kepada mahasiswa agar tegas dengan prinsip diri dan tidak membiarkan diri dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang akan merosakkan masa depan negara.
"Selain itu, kami keliru dengan isu rasuah dalam dua situasi yang berbeza kerana dalam kehangatan kerajaan menunjukkan komitmen mereka membanteras amalan korupsi tersebut, masih berlaku sogokan wang kepada rakyat dalam setiap pilihan raya yang diadakan. Ini bukan sahaja berupaya menyemai benih-benih rasuah ke dalam diri, tetapi pada masa yang sama usaha yang telah dibuat untuk menghapuskan jenayah tersebut ibarat mencurahkan air ke daun keladi," katanya.
Menghuraikan perkara tersebut dengan panjang lebar, Dzulkhairi berkata dalam keadaan biasa, pihak berkuasa akan menangkap sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dengan rasuah, malangnya hal yang sebaliknya berlaku ketika pilihanraya dijalankan.
Beliau mendakwa amalan rasuah semasa pilihan raya adalah amat ketara, sungguhpun begitu tiada sebarang usaha penangkapan dibuat.
Menurut Akta Mencegah Rasuah 1961 (disemak 1971), rasuah antara lainnya termasuklah wang, derma, hadiah, apa-apa bayaran dan apa-apa jenis balasan berharga. Hal ini termasuklah apa-apa pemberian seperti wang, hadiah dan barangan yang bernilai yang diberikan semasa pilihan raya untuk tujuan meraih undi.
"Hari demi hari kita menyaksikan semakin ramai orang yang ditangkap kerana disyaki rasuah. Hal demikian menunjukkan bahawa kerajaan selama ini telah dipimpin oleh orang-orang yang korup. Ini menunjukkan bahawa belum ada komitmen secara serius untuk membanteras rasuah," tegasnya.
Namun begitu, Gamis tetap menyokong usaha kerajaan dalam membanteras segala amalan berbentuk korupsi, kerana jika rasuah tidak dibendung, ia akan merosakkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap para pemegang kekuasaan.
Gamis turut menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menangkap pemimpin-pemimpin parti yang disyaki terlibat dengan rasuah. Jika BPR mempunyai bukti bahawa pemimpin-pemimpin parti, sama ada PAS ataupun Umno-BN yang terlibat dengan amalan 'makan suap' ini, maka keadilan perlu ditegakkan.
Beliau juga mengambil kesempatan menyeru semua mahasiswa agar turun mengundi pada PRU ke-12 kali ini.
"Jangan hanya menjadi ulat buku semata-mata dan tidak peduli dengan sebarang peristiwa yang berlaku di luar, kerana mahasiswa seharusnya berperanan untuk mengembalikan keadilan dan kemakmuran negara," katanya.
Di samping itu, Gamis mendesak pihak pentadbiran seluruh institusi pengajian tinggi agar memberi kesedaran mengundi termasuk penjelasan mengenai tanggungjawab tersebut kepada mahasiswa, supaya ia bukan sekadar teori tetapi terus diamalkan ke dalam kehidupan.
"Jika tidak, mahasiswa akan menjadi 'mandom' dan tidak dapat memberi apa-apa sumbangan kepada negara," ujarnya menjelaskan kesan sikap tidak peka terhadap isu semasa di persekitaran mereka.
Dzulkhairi yang juga merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya berharap PRU ke-12 akan berjalan dengan telus dan adil tanpa sebarang kecacatan yang boleh mencemarkan integriti dan kredibiliti kerajaan. - mns
No comments:
Post a Comment