Mon | Nov 05, 07 | 1:23:07 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Betapa gersang,untuk menarik sokongan ahlinya Umno dilihat terpaksa mengumpan hadiah berjumlah RM5.25 juta supaya ahlinya mendaftar sebagai pemilih dan pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ini terpaksa dilakukan berikutan rekod sejumlah hampir 4 juta rakyat Malaysia termasuk ahli Umno yang masih gagal mendaftar sebagai pemilih dan pengundi bagi pilihan raya akan datang malah kempen-kempen yang dilakukan oleh SPR sebelum ini ternyata gagal.
Kempen 'umpan dan rasuah' ini dilihat sebagai satu kaedah pembaziran wang ahli Umno memandangkan usaha mendaftar diri ini merupakan satu tanggungjawab warga negara Malaysia bukannya peraduan mahu permaianan yang boleh ditawarkan hadiah yang melimpah ruah.
Biarpun persoalan daripada mana sumber jutaan wang ringgit itu diperolehi boleh dijawab namun sebaiknya wang tersebut adalah lebih mulia disalurkan kepada yang memerlukan seperti membantu golongan susah, miskin dan tertindas, mangsa banjir, anak yatim berbanding memberi hadiah kepada ahli yang 'tidak bertanggungjawab' kerana sebelum ini gagal mendaftar sebagai pemilih.
"Presiden Umno dan Timbalannya sendiri pernah menasihati rakyat supaya berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat, tiba-tiba Umno sendiri secara boros membelanjakan jutaan wang ringgit untuk menarik ahlinya yang 'liat' mendaftar.
"Secara tak langsung tonjolkan ahli-ahlinya yang tidak ada kesedaran dan tanggunjawab sehingga kini gagal mendaftar sebagai pemilih." kata seorang pemerhati politik.
"Tawaran ini benar-benar mencemar Perhimpunan Agung Umno kali ini kerana disifatkan sebagai simbol 'keangkuhan' untuk menunjuk kepada rakyat bahawa Umno miliki jutaan wang ringgit dan kaya raya berbanding ramai lagi rakyat yang papa," katanya yang tidak puas hati dengan berita yang dilaporkan hari ini.
Sebelum ini pernah dilaporkan 'umpan' yang seumpama itu dan tidak berfaedah pernah dibatalkan serta ditarik balik iaitu isu hadiah lumayan kereta Perodua MyVi kepada rakyat Malaysia yang mahu menukar kad pengenalan baru.
Ianya kemudian menjadi topik panas apabila Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad membuat pengumuman menarik balik peraduan cabutan bertuah 'Jom Tukar dan Menang' itu.
Beliau menyifatkan langkah memberi ganjaran kepada rakyat untuk menukar dokumen penting MyKad sebagai "sesuatu yang bodoh dan mengarut" dan mahu semua hadiah termasuk kereta berkenaan didermakan kepada rumah anak yatim.
Ramai pihak yang menyokong tindakan Radzi membatalkan ganjaran ini kerana memperbaharui MyKad adalah tanggungjawab dan wajib atas semua rakyat maka tidak perlulah memikat orang ramai dengan menawarkan hadiah lumayan.
Menteri akhirnya sepakat menyumbangkan baki hadiah termasuk Perodua MyVi bernilai RM50,000 kepada rumah anak yatim.
Tindakan ini sewajarnya dijadikan tauladan oleh Umno supaya tidak melakukan pemborosan secara buta tuli, bermegah-megah dengan harta yang dimliki dan menarik ahli dengan cara membazirkan wang parti.
Agensi berita hari ini melaporkan bahawa ahli Umno yang mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mendapat kad keahlian secara percuma pada Perhimpunan Agung Umno 2007 dan berpeluang merebut hadiah bernilai RM5.25 juta, kata Setiausaha Kerja Umno, Dato' Husainay Hashim.
"Ahli-ahli yang mempunyai kad ini membolehkan mereka mendapat rebat tunai contohnya jika mereka adalah pelanggan Astro dan pelanggan talian Maxis," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam. - mr
No comments:
Post a Comment