KUALA LUMPUR 4 Nov. – ‘Bekerja kuat’ adalah petua utama yang boleh menjadikan orang Melayu sebagai usahawan yang berjaya.
Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad, Tan Sri Rozali Ismail berkata, orang Melayu yang tiada sifat berkenaan tidak akan berjaya walaupun mereka mendapat pelbagai bantuan kerajaan.
“Saya selalu mendengar keluhan peniaga Melayu yang mendakwa rakan-rakan lain berjaya kerana telah melobi dan mengenali ahli politik tertentu.
“Kita jangan menyalahkan orang lain sebaliknya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar bagaimana lobi ini dilakukan bagi membolehkan kita membuat perkara sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Sejauh Mana Perubahan Minda Bangsa Dalam Menjana Kejayaan Negara pada Kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, orang Melayu yang selalu mengeluh kerana mendakwa kurang peluang pekerjaan disediakan oleh syarikat swasta yang dikuasai kaum lain harus melihat perkara itu sebagai cabaran.
“Kalau wujud peluang kerja terhad, maka kita perlu berusaha membuka syarikat sendiri bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada kaum kita,” ujarnya.
Mengenai dakwaan bahawa birokrasi agensi kerajaan antara punca orang Melayu tidak berjaya, katanya, perkara itu adalah lumrah yang harus dihadapi oleh setiap peniaga.
“Bukan senang untuk menjadi seorang peniaga sebab itu kita perlu menghadapinya dengan tabah dan tidak mengalah.
“Ini dialami sendiri oleh saya sebagai anak peneroka ketika mula-mula berniaga kerana tiada siapa percaya saya mampu menjadi seorang usahawan berjaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment