Monday, November 05, 2007

Najib minta MIC, PPP usah bertelagah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) menghentikan perbalahan secara terbuka di antara kedua-dua parti kerana tindakan itu bertentangan dengan amalan dan prinsip Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN sentiasa mahu hubungan antara parti komponen berjalan baik dan mengelak daripada cabar mencabar serta kutuk mengutuk sesama sendiri.

Katanya, apa yang berlaku itu disifatkan sebagai tidak sihat dan mesti dihentikan serta-merta.

"Kita sentiasa mahu hubungan antara parti komponen BN menjadi baik," katanya selepas menutup Kursus Kepemimpinan Kelab Umno Luar Negara, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang mahu mencadangkan kepada Dewan Tertinggi BN supaya PPP disingkirkan daripada pakatan BN berikutan tindakan Presiden PPP, Datuk M Kayveas yang sering mempertikaikan peranan MIC dalam membela nasib kaum India di negara ini.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, Malaysia sudah mendapat kebenaran untuk memasang senjata jenis raifal Colt M4 Carbine dari Amerika Syarikat (AS) menerusi pemindahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) senjata berkenaan.

Katanya, kerajaan kini hanya menunggu kelulusan Kongres Amerika Syarikat sebelum melaksanakan pemasangan senjata yang bakal digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

"Sebagai permulaan, kita akan terima tempahan secara komponen dipasang sepenuhnya (CBU) dan kemudian barulah kita keluarkan di dalam negeri," katanya.

Colt M4 Carbine adalah senjata jenis raifal buatan Amerika Syarikat yang bakal mengambil alih Styer AUG A1 keluaran Austria yang kini digunakan dalam ATM.

Najib berkata, langkah kerajaan menukarkan Styer kepada M4 Carbine bagi melengkapi ATM dengan persenjataan moden, selain membolehkan tentera menjadi askar masa depan.

No comments: