SEREMBAN 4 Nov. – Semua pembahas usul pada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula esok diingatkan hanya memperkatakan mengenai pencapaian dan hala tuju parti dan bukan menjadikannya pentas peribadi untuk mengangkat diri sendiri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perhimpunan itu juga perlu dimanfaatkan sebagai pentas untuk menyatupadukan ahli parti sekali gus menghantar mesej kepada rakyat mengenai keutuhan dan keupayaan UMNO untuk terus berbakti kepada negara.
Katanya, sumbangan parti kepada kemerdekaan negara yang disambut ke-50 tahun ini dan kemakmuran negara perlu diberi keutamaan sekiranya pembahas merupakan seorang pejuang tulen.
“Kita tidak boleh letak tanda harga pada perjuangan dalam UMNO, sekiranya kita letak tanda harga ia menunjukkan kita telah mengkhianati perjuangan itu,” katanya di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada semua perwakilan supaya tidak menjadikan perhimpunan agung parti yang bermula esok hingga Jumaat ini pentas untuk melobi dan menonjolkan diri sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan memberitahu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan akan menyertai perbahasan dengan mengemukakan beberapa pandangan, khususnya berhubung usul ekonomi dan pelajaran.
Katanya, usul berkenaan perlu dibahaskan dengan lebih mendalam kerana apa yang dibincangkan itu adalah terjemahan isi hati Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebelum ini.
“Kita berpendapat kedudukan ekonomi negara ketika ini berada pada paras terbaik dan semua penunjuk dan penanda aras ekonomi, menyebelahi kepada negara kita,” jelasnya.
Tiga pembahas yang akan mewakili Negeri Sembilan pada Perhimpunan Agung UMNO itu ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim yang akan membahaskan ucapan Presiden; Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi membahaskan usul ekonomi dan pelajaran, manakala Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Zainab Nasir membahaskan usul agama dan sosial.
No comments:
Post a Comment