Mon | Nov 05, 07 | 2:10:56 pm MYT
Selamat tinggal Tun Fairuz! Itu yang dapat dikatakan kepada Ketua Hakim Negara yang khidmatnya tidak disambung lagi mulai 1 November lalu.
Memang khidmat wajibnya berakhir pada tarikh itu. Hingga sebulan lalu tiada riak beliau akan bersara sekalipun usia bersaranya bermula 1 November itu. Seolah-olah khidmatnya akan disambung, terutama memandangkan tiada nama yang jelas disenaraikan bagi menggantikannya.
Dalam keadaan seperti itu biasanya penjawat jawatan akan diminta menyambung perkhidmatan sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi.
Tiba-tiba beberapa minggu lalu meletup klip video yang dikatakan peguam VK Lingam bercakap telefon dengan Ketua Hakim Negara itu. Percakapan itu dikatakan Lingam boleh mengusahakan beliau diangkat menjadi Ketua Hakim Negara.
Klip video itu tidak dapat disahkan tulen oleh jawatankuasa khas menyiasat atas perkara itu yang dipengerusikan oleh bekas hakim Haidar.
Bagaimana pun pendedahan klip video itu telah merosakkan reputasi dan nama baik Tun Ahmad Fairuz. Adalah dipercayai ia menyebabkan khidmat beliau tidak disambung lagi.
Tidak dapat dipastikan persaraannya dapat menghentikan pertikaian atas isu klip video itu. Apa pun sehingga ini Tun Fairuz belum membela diri tentang tohmah yang melandanya itu. Sememangnya sukar bagi membelanya.
Apa lagi beliau hingga rencana ini ditulis, mengambil sikap membisu. Dia belum membela diri dan tidak muncul pihak yang mahu membelanya. Adakah beliau akan membisu terus, adalah diperhatikan.
Sebelumnya Hakim Hamid Omar dipersoal umum sebagai Ketua Hakim Negara. Ini berikut penampilannya menggantikan Tun Salleh Abbas yang dipecat secara politik. Sentimen membela Tun Salleh yang begitu tinggi, menyebabkan perlantikan Tun Hamid menggantikan Tun Salleh oleh kerajaan yang tidak popular menjadi buah mulut.
Kemudian perkhidmatan Yusuf Chin sebagai Ketua Hakim Negara juga penuh dengan kontroversi. Pembabitan Lingam juga ada di situ. Pemergian ketua hakim itu memang ditunggu dan dialu-alukan.
Amat berbeza dengan pemergian Tun Salleh Abbas. Pemergiannya ditangisi dan penuh pilu.
pemergian penuh tragik
Nasib Tun Fairuz tercetus dalam bulan-bulan akhir menjelang persaraannya. Pemergiannya berlaku penuh tragik. Payah untuk mengenangnya disebabkan oleh ledakan klip video yang meletup sekitar sebulan lalu.
Perkara itu dipercayai disebut dalam persidangan Raja-Raja sehari sebelum persaraannya diumumkan. Kerajaan tidak tahu untuk menjawabnya. Semua menteri membisu. Dato Nazri Aziz saja cuba membendung kejadian itu. Tetapi ternyata lidahnya pendek.
Kerajaan dituntut menubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat klip video itu. Pihak yang mendedahkan klip video itu akan bersedia memberikan keterangan terperinci kerana penyiasatan seperti itu ada kuasa undang-undang dan dapat memberi perlindungan undang-undang kepada pemberi keterangan dan punca wujudnya klip itu.
Kerajaan yang tidak tahu untuk membela ketua hakimnya, tidak berani membentuk Surahanjaya Diraja penyiasatan itu.
Bagi melepaskan batuk di tangga, kerajaan sekadar membentuk Jawatankuasa Khas penyiasatan yang tidak punya apa-apa kuasa. Ia pun tidak berupaya untuk membuat penyiasatan lanjut kerana tiada ak pihak bersedia bekerjasama dengannya.
Jawatankuasa itu boleh bekerjasama dengan BPR. Tetapi BPR pun tidak banyak dapat melakukan tindakan.
Maka Tun Ahmad Fairuz menerima nasib yang sangat malang. Selagi tiada pembelaan yang berkesan dari pihaknya, maka kekecohan sebulan sebelum tarikh persaraannya telah merosakkan seluruh perkhidmatan dan kerjayanya dalam jabatan kehakiman.
Apakah ia terhenti setakat itu saja? Apakah Lingam boleh berasa senang dan selesa dengan dua bekas ketua hakim terlungkup kerana ada hubungan baik dengannya.
Yang ternyata malang dalam kes yang meletup itu ialah Tun Fairuz. Beliaulah yang menerima segala tanggungannya. Lingam setakat ini terlepas. Macam mana rupa wajahnya pun tidak diketahui. Dia dapat menyorok dan tidak dikenali.
Dan dapatkah kerajaan melepaskan tanggung jawab dengan sekadar melepaskan Tun Fairuz dari jawatannya? Tidakkah perlu ia mengambil langkah bagi menjawab segala persoalan yang timbul dari kes yang berbangkit itu.
Masyarakat peguam dan pihak yang menuntut satu sistem kehakiman yang bebas, bersih dan adil dipercayai akan terus memperjuangkannya. Yang tiada lagi dalam jabatan kehakiman itu ialah Tun Fairuz saja. Tetapi dia meninggalkan banyak persoalan yang perlu dijawab.
Selagi kerajaan tidak mengambil satu langkah menjelaskan keadaan yang sebenar, maka selama itu baki hidup Tun Fairuz akan terus diasak oleh isu ini. Ia akan menjadi perbincangan yang lama.
Selama-lamanya Tun Fairuz akan berdepan dengan tohmah sebagai pemegang jawatan yang naik bukan kerana cara-cara yang betul tetapi penuh dengan segala kekaburan.
Dengan sikap kerajaan yang tidak bersedia menghadapi perkara itu secara terbuka, ia telah menyebabkan Ketua Hakim terus tertekan, sebab kes itu cuba diselesaikan dengan mendiam dan menyorokkan keadaan yang sebenar.
Memanglah madu itu pahit, tetapi ia ubat. Dengan berubat penyakit boleh diatasi. Tetapi dengan membiarkan penyakit tak berubat dan tidak dirawat, ia membiarkan penyakit menentukan nasib pesakit. Tiada peranan pencegahan. Itulah ibarat langkah kerajaan dalam tohmah yang menimpa bekas Ketua Hakim itu. /tajdid
No comments:
Post a Comment