Monday, November 05, 2007

Bincang kos sara hidup -- Usul paling banyak diterima untuk dibahas di perhimpunan UMNO

Oleh Baharom Mahusin

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Isu kenaikan kos sara hidup dan harga barang akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung UMNO minggu ini memandangkan banyak bahagian UMNO mengemukakan usul berkaitan isu berkenaan kepada ibu pejabat parti itu.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun usul ekonomi pada perhimpunan tersebut tidak secara spesifik menyebut mengenai isu itu, ‘kita sendiri tahu ia menjadi keprihatinan perwakilan dan ahli-ahli UMNO’.

Menurut beliau, sekiranya ditimbulkan, ia merupakan satu kesempatan baik untuk pucuk pimpinan UMNO menjelaskan kepada akar umbi parti mengenai punca kenaikan harga barang dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi mengawalnya.

“Jika kita lihat usul-usul dari bahagian-bahagian yang telah sampai ke Ibu Pejabat UMNO, memang banyak yang menyentuh tentang kos sara hidup,” kata Muhyiddin dalam wawancara dengan Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usul, Muhyiddin melihat pemimpin akar umbi UMNO mengambil berat soal kenaikan kos sara hidup dan telah memberikan pendapat mereka bagaimana kerajaan harus mengawal harga, mempertingkatkan penguatkuasaan, subsidi dan sebagainya.

“Tidak perlu tunggu Perhimpunan Agung, banyak daripada 192 bahagian UMNO telah pun berbincang lebih awal mengenai isu itu seperti yang kita duga.

“Pastinya ini merupakan landasan terbaik bagi Presiden, Timbalan Presiden dan menteri-menteri ekonomi dalam UMNO untuk menjelaskan kepada ahli-ahli tentang mindset kebergantungan kepada subsidi,” katanya.

Menurut Muhyiddin, kenaikan harga minyak yang mencecah hampir AS$100 dolar setong memang menekan ekonomi Malaysia dan kesannya amat besar kepada rakyat.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz telah memberitahu rakyat supaya bersedia menerima kesan kenaikan harga minyak itu.

“Ini bukan buatan kita, ia berlaku di luar kawalan kita. Kenaikan harga minyak itu memang membebankan ekonomi negara terutama kesannya kepada pembiayaan subsidi minyak yang telah mencecah berpuluh-puluh bilion ringgit.

“Kalau harga (minyak) naik lagi, Petronas untung tetapi tanggungan kerajaan juga meningkat, kadang-kadang lebih tinggi daripada keuntungan yang kita peroleh,” ujarnya.

Menurut Muhyiddin, walaupun pada peringkat awal kerajaan boleh menampung kesan itu tetapi dalam jangka masa panjang ia akan membebankan kewangan kerajaan dan memberi kesan kepada kos sara hidup dan inflasi.

Beliau memberitahu, kepimpinan UMNO memahami apa yang berlaku kepada rakyat dalam isu itu.

“Sesetengah pihak pasti terasa. Misalnya, kalau dulu dengan RM100 orang boleh beli barangan yang memenuhi bakul, sekarang nilai wang yang sama hanya mampu mengisi tiga suku bakul.

“Hal itu disuarakan oleh rakyat dan ahli-ahli parti,” kata beliau.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, kalau rakyat hendak meminta kerajaan semata-mata mengawal harga barang, ia bukannya perkara mudah.

Beliau menceritakan bagaimana sukarnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal untuk mengawal harga ayam.

“Tidak ada negara lain di dunia yang buat macam Malaysia. Bila nak kawal harga ayam, harga tepung pula naik, jaga harga tepung, harga minyak naik,” katanya.

Mustahak

Muhyiddin yang merupakan bekas menteri di kementerian yang kini dipimpin oleh Mohd. Shafie berkata, ada juga pihak yang mendesak supaya senarai harga barangan kawalan ditambah.

“Sudahlah banyak, nak ditambah pula lagi. Ini tidak akan menyelesaikan masalah. Lepas itu bila nak kawal harga, bukan soal harga barangan itu sahaja yang hendak diperhatikan, kesannya kepada industri juga sama mustahak.

“Bila orang ramai kata harga ayam jangan naik, bagaimana pula dengan penternak yang mengalami masalah kenaikan harga makanan ayam?

“Jadi kita perlu mempunyai pertimbangan kepada pengguna serta penternak kerana kedua-duanya adalah rakyat. Jika penternak tak ada, pengguna tak boleh makan,” katanya yang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Harga bagi menentukan kenaikan harga barang.

“Dalam Perhimpunan Agung UMNO, saya fikir kita mungkin akan mendengar ahli-ahli menyuarakan dan menyoal perkara-perkara yang berkaitan harga barang.

“Jawapan yang akan diberikan oleh kepimpinan pula akan dikongsi bersama masyarakat di luar seperti di kampung-kampung dan kakitangan kerajaan. Inilah kesempatan kita untuk menjelaskan kepada mereka mengenai kenaikan harga minyak dan peranan Petronas.

“Mungkin ada yang kata Petronas untung bila harga minyak naik, tetapi harus diingat Petronas mempunyai tanggungan yang besar kerana syarikat itu mempunyai tanggungjawab kepada pemegang sahamnya.

“Kalau kita lihat, Malaysia berjaya menguruskan ekonomi dengan mengawal harga... saya fikir kita jauh lebih berjaya daripada banyak negara lain. Tapi di Malaysia sudah menjadi adat rakyat mengharapkan kerajaan memberi subsidi dan bantuan.

“Ini bagi saya tidak mengapa, tapi saya harap jangan semua orang bercakap perkara yang sama. Mereka juga boleh bercakap mengenai perkara lain seperti berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.

No comments: